Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pilihan raya boleh diadakan tahun ini, menampakkan beliau tidak sabar untuk menjadi perdana menteri.
Tegas Mahfuz, kenyataan Muhyiddin "bercanggah" dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu melengkapkan mandat lima tahun dan seperti mengulangi era peralihan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.
"Nampaknya ia mengulangi apa yang dilakukan pada zaman Pak Lah apabila Majlis Tertinggi dan kabinet sudah bersetuju mahu memastikan pengunduran beliau pada sekian tarikh dan bulan pada 2009," katanya.
Mahfuz berkata, pada zaman Abdullah, terdapat menteri yang berusaha ke arah itu termasuk "pergi ke Singapura" sehingga beliau rasa ditikam belakang.
"Mungkin timbalan perdana menteri ada perkiraan, kalau BN menang pun, tak cukup dua pertiga. Najib ini mesti turun macam mana Pak Lah turun," katanya.
Mahfuz berkata, Muhyiddin sepatutnya mendokong apa yang dinyatakan oleh Najib yang juga presiden Umno.
Semalam, Muhyiddin dilapor berkata tahun ini paling baik untuk kerajaan mengadakan pilihan raya umum ke-13, tetapi terpulang kepada Najib untuk menentukannya.
Sementara itu, Mahfuz turut membidas kerajaan yang menggunakan tema "55 tahun janji ditepati" bagi sambutan kemerdekaan pada tahun ini.
Katanya, tema tersebut merupakan tema kempen pilihan raya dan kempen politik seperti mana yang dilakukan oleh Najib dalam kempen jelajahnya.
"Saya tidak melihatnya sebagai satu tema patriotik," katanya sambil mencadangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak menggunakan tema tersebut.
"Kita kecewa, harap kerajaan pusat jangan marah, apabila kerajaan pakatan tak sambut kemerdekaan mengikut tema kerajaan. Ini satu kempen politik, tidak membentuk jiwa patriotik," katanya.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan menggunakan tema "Demi Malaysia" dalam sambutan kemerdekaan pada tahun ini.