Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: BN perlu 'media troopers' tangkis pembangkang
Diterbitkan:  Jul 15, 2012 10:20 PM
Dikemaskini: 4:21 PM

Jentera penerangan Umno dan BN peringkat bahagian perlu diperhebatkan lagi termasuk usaha mewujudkan 'media troopers' menangkis tohmahan yang sering dilemparkan pembangkang melalui media sosial.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangkang menggunakan media sosial menyerang dan memfitnah Umno dan BN dengan isu-isu negatif yang boleh meracuni pemikiran rakyat.

"Oleh yang demikian, Umno dan BN perlu mendekati kumpulan pelayar media sosial agar hal yang sebenar dapat diperjelaskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Pergerakan Wanita Umno bahagian Bagan Datoh di bagan Datoh pada Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata penjelasan perlu dilakukan kerana kira-kira 17 juta daripada 28 juta penduduk negara ini lebih cenderung mendapat maklumat menerusi media sosial daripada media arus perdana.

Beliau berkata 'media troopers' adalah saluran yang cukup penting bagi membetulkan dakwaan yang digambarkan oleh pelayar media pembangkang.

Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut mengambil inisiatif menjawab segala permasalahan yang timbul melalui media sosial yang dikendalikannya secara peribadi.

"Oleh kerana permasalahan yang ditimbulkan bukan hanya berkaitan dengan soal parti dan kerajaan tetapi melibatkan perkara-perkara yang lain," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS