Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei dengan keras menafikan penglibatan dalam jawatankuasa penganjuran Karnival Terima Kasih Rakyat yang didakwa melibatkan perolehan secara tidak teratur.

Dalam satu kenyataan semalam, Shuhaimi berkata beliau tidak terlibat langsung dalam sebagai anggota jawatankuasa atau mana-mana jawatankuasa kecil program tersebut, apatah lagi dalam sebut harga dan perkara lain melibatkannya.

"Saya mengakui bahawa saya telah menghadiri mesyuarat tersebut dua kali bagi pihak exco kerajaan negeri Elizabeth Wong, yang merupakan salah seorang daripada tiga exco yang ditugaskan menjalankan program ini," katanya.

Shuhaimi sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa ketua penerangan daripada tiga parti komponen Pakatan Rakyat merupakan anggota jawatankuasa penganjuran, dan beliau telah menghadiri mesyuarat tersebut dua kali tanpa menyebut bahawa ia dilakukan bagi pihak Wong.

Ketua penerangan PKR Selangor itu juga sebelum ini berkata setiausaha publisiti PKR Selangor Irwan Hidayat Abd Rahim mewakili beliau dan PKR dalam jawatankuasa penganjuran tersebut.

Irwan merupakan pengarah dan pemegang saham Idea Tank Sdn Bhd – sebuah syarikat persendirian yang mengemukakan tuntutan RM356,000 untuk membekal perkhidmatan dan produk ke karnival tersebut.

Bagaimanapun, kerajaan negeri menyekat bayaran tersebut memandangkan satu siasatan dalaman mendapati perolehan itu dibuat tanpa mengikut peraturan kewangan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Shuhaimi turut menafikan hubungannya dengan Irwan.

Katanya, individu yang dinamakan itu hanyalah aktivis parti dan bukan pembantu atau pegawai khas beliau.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS