Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: K'jaan BN tanggung 90% subsidi pendidikan
Diterbitkan:  Jul 13, 2012 2:46 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagi memastikan kemiskinan tidak menjadi kekangan untuk setiap anak bangsa berpeluang mendapatkan pendidikan untuk mengubah nasib mereka, kerajaan Barisan Nasional (BN) menanggung lebih 90 peratus subsidi untuk sektor itu.

    

Perdana Menteri berkata kerajaan menyediakan pelbagai subsidi dan bantuan dalam bidang pendidikan termasuk kemudahan pinjaman seperti Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Pinjaman PTPTN menjadi akses kepada ramai pelajar yang miskin untuk meneruskan pengajian. Kalau kita hapuskan (PTPTN), siapa nak bayar? Menerusi pembayaran balik pinjaman itu, ianya membolehkan kita berbudi (memberi pinjaman) pula pada yang lain.

    

"Kerajaan BN akan terus membela dan menyediakan kemudahan yang lebih baik lagi dalam bidang pendidikan untuk rakyat di negara ini pada masa depan," katanya ketika berucap di program `Mengubah Destini Anak Bangsa' yang dihadiri lebih 20,000 pelajar dan warga Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) seluruh negara, di Dungun hari ini.

    

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Naib Canselor UiTM Prof Ir Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Najib berkata pendidikan merupakan satu mobiliti sosial menegak yang berjaya mengubah nasib mereka yang dahulunya miskin, kini mampu menjadi golongan profesional dan berjaya.

    

Menerusi UiTM misalnya, beliau berkata penubuhan institusi itu telah banyak membawa perubahan besar kepada anak-anak desa dan luar bandar yang kini pelajarnya mencecah 200,000.

    

"Perjuangan (pendidikan) ini adalah perjuangan yang silih berganti, tidak boleh dalam masa satu dekad sahaja, malah satu generasi pun tidak selesai.

"Ianya mesti dalam jangka masa yang panjang dan kesan keberhasilan dapat dilihat hari ini. Inilah kerajaan hari ini, tidak pernah jemu-jemu dalam membela rakyat tanpa mengira kaum," katanya.

    

Perdana menteri berkata dalam usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju, perjuangan memartabatkan pendidikan bangsa penting supaya segala pelaksanaan transformasi yang dirancang kerajaan berjalan lancar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS