Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Puteri Umno pandang positif cadangan laksana hudud
Diterbitkan:  Jul 13, 2012 1:22 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Pergerakan Puteri Umno Malaysia memandang positif cadangan pelaksanaan hukum jenayah syariah - hukum hudud - tetapi menegaskan ia perlu dilakukan dengan teliti dan sempurna.

Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, beliau melihat desakan pembangkang dan sesetengah pemimpin Umno yang mahu melaksanakan hudud dengan matlamat memurnikan akidah umat Islam sebagai langkah yang baik.

“Kita harus bersedia ke arah kesempurnaan pelaksanaan hudud dan berusaha memberi kefahaman jelas terhadap masyarakat majmuk di negara ini kerana ia adalah hukuman yang memiliki banyak cabang.

“Bagaimanapun, teori dan pelaksanaannya perlu diperhalusi. Kita tidak mahu pelaksanaannya tidak sempurna kerana ini soal hukum Allah SWT,” katanya dipetik oleh akhbar Sinar Harian hari ini.

Rosnah mengulas cadangan Wanita Umno Bahagian Kepala Batas yang mahu membawa usul menyokong pelaksanaan hudud di negara ini ke persidangan Umno bahagian itu tidak lama lagi.

Rosnah berkata pelaksanaan hukum hudud tidak perlu dipolitikkan dan dipermainkan demi kepentingan peribadi kerana ia sebahagian daripada syariat Allah yang "wajib dijunjung, diamalkan serta dipertahankan setiap Muslim dan Muslimat".

“Umat Islam wajib menyokong tanpa mengira parti dan menjauhi diri daripada membuat ulasan negatif atau memukul gendang sumbang yang membayangkan pelbagai keraguan,” katanya.

Rosnah yang juga timbalan menteri kesihatan berkata, perkara utama yang perlu ditekankan ialah usaha membina semula keruntuhan akidah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS