Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noh: BN tiada masalah terus beri air percuma di S'gor
Diterbitkan:  Jul 13, 2012 6:48 AM
Dikemaskini: 10:49 PM

Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah untuk meneruskan pemberian air percuma di Selangor jika berjaya merampas semula negeri itu tetapi ia akan dilakukan melalui pendekatan berbeza demi kepentingan rakyat.

    

Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata jika dasar itu dilaksanakan, ia akan dibuat dengan lebih menyeluruh termasuk menambah bilangan meter padu air percuma dan memastikan seluruh rakyat Selangor menikmatinya.

    

"Kalau sekarang dia (pembangkang) beri air percuma tetapi tidak semua rakyat dapat. Beratus ribu rumah yang mempunyai meter pukal tidak dapat faedah ini dan adakah orang kaya pun nak dapat juga air percuma ini.

    

"Apa juga dasar dibuat untuk kebaikan rakyat kita kena teruskan tetapi selesaikan dulu masalah meter pukal terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Mengenai Isu Bekalan Air Selangor anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), di Shah Alam semalam.

    

Beliau berkata BN tidak boleh membuat dasar yang hanya menguntungkan segelintir rakyat dan tidak memberi makna kepada orang yang tidak memerlukan seperti golongan kaya.

    

Turut hadir Menteri KeTTHA Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan iimbalannya Datuk Noriah Kasnon serta Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), Tan Sri Rozali Ismail.

    

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, menegaskan isu pokok kerajaan BN masa ini ialah bagi memastikan bekalan air mencukupi selari dengan keperluan rakyat.

    

"Apapun kita mesti ingat kalau nak buat dasar (air percuma), air mesti ada... kalau isytihar air percuma sekalipun kalau tidak ada air tidak guna dasar itu kerana tidak mungkin dapat dilaksanakan," katanya.

    

Ketika diajukan soalan sama ada beliau sedia berdebat dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu air, Noh berkata perkara itu hanya akan membuang masa.

    

Beliau berkata situasi pada masa kini jelas menunjukkan bekalan air di negeri itu semakin berkurangan sehingga boleh menyebabkan berlakunya krisis air.

    

"Buat dulu Langat 2, ada air baru kita debat tentang siapa nak uruskan dan tarif air baru. Tindakan debat semua buang masa dan politik murahan kerajaan negeri, bukan untuk kepentingan rakyat," katanya.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS