Nurul Izzah Anwar berkata, tindakan perdana menteri memansuhkan Akta Hasutan 1948 tetapi menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional membuktikan Datuk Seri Najib Razak seorang 'demokrat palsu'.
Naib presiden PKR itu berkata, tindakan itu tidak membawa makna apa-apa kerana akta baru itu didakwa mempunyai "kuasa-kuasa drakonian" yang sama.
"Ibarat menggantikan tubuh badan antidemokrasi dengan baju baru drakonian yang sama lusuh; demi membuktikan bahawa beliau seorang demokrat sejati dan bukannya seorang demokrat palsu," kata puteri sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Najib semalam berkata, pengenalan akta baru itu bertujuan mencari mekanisme bagi menentukan keseimbangan terbaik antara menjamin kebebasan bersuara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan di negara ini.
Dalam kenyataannya hari ini, Nurul Izzah menyifatkan langkah terbaru itu sebagai "transformasi layu lagi lesu" kerana ia didakwa hanya helah politik.
Berdasarkan rekod, dakwanya lagi, ciri-ciri "demokrat palsu" itu boleh dilihat antaranya dengan langkah sebelum ini seperti penggantian ISA dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan pengenalan Akta Keterangan (Pindaan) 2012.
Beliau menegaskan, kerajaan perlu memansuhkan Akta Hasutan tanpa menggantikannya dengan akta lain yang sama.
"PKR juga menggesa Najib mewujudkan jawatankuasa khas parlimen (JKP) yang bersifat bipartisan untuk mengkaji secara menyeluruh Akta Keharmonian Nasional yang beliau cadangkan, di mana JKP ini harus diberi mandat untuk membincangkan perihal perpaduan sosial dan perhubungan antara kaum," katanya.
Akhbar Kanada The Globe and Mail pada 8 Jun lalu memuatkan artikel wartawan terkenal Mark Mackinnon yang mengkategorikan Najib sebagai "demokrat palsu", sebaris dengan autokrat seperti Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.