Tiga puluh individu hari ini membuat laporan polis terhadap pengamal paranormal Syed Abdullah Hussein Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers berhubung penyiaran artikel dalam blognya
yang dikatakan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Sultan Johor.
Laporan polis berkenaan dibuat pada pukul 12.10 tengah hari di Balai Polis Sentral, di sini, bagi memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap blog uncleseekers.blogspot.com yang turut berunsur mengaibkan Tunku Mahkota Johor, pemimpin dan penjawat awam kerajaan Johor.
Wakil kesemua individu berkenaan, seorang peniaga, Khairil Azlishah Jalil, 32, ketika ditemui pemberita berkata pihaknya meminta blog berkenaan ditutup memandangkan terdapat dokumen-dokumen sulit yang dipaparkan pada blog tersebut.
"Sebagai rakyat Johor yang taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim dan kerajaan berperlembagaan, kami tidak puas hati dengan dakwaan-dakwaan serta hasutan yang boleh memecah belahkan rakyat Johor dan kesejahteraan negeri ini.
"Kami tidak mewakili mana-mana parti atau badan bukan kerajaan. Kami dapati penulisan di dalam blog berkenaan semakin hari semakin menjadi-jadi dan sehubungan itu kami mahu polis menjalankan siasatan mengenainya," katanya.
- Bernama