Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid Hamidi: K'tan terima RM5.3b sejak 2010

Kerajaan negeri Kelantan menerima bantuan berjumlah RM5.3 bilion daripada kerajaan persekutuan dalam tempoh dua tahun sejak Rancangan Malaysia ke-10 dilancarkan pada tahun 2010.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam tempoh sama kerajaan negeri Kelantan hanya menyumbang hasil pendapatan berjumlah RM300 juta kepada kerajaan persekutuan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Kulim/Bandar Baharu di Kulim, hari ini, Ahmad Zahid berkata bantuan tersebut disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri dan agensi-agensi kerajaan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan bantuan kepada rakyat miskin di Kelantan.

Fakta bantuan kewangan ini diperoleh dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan dibentangkan di Parlimen Mei lepas, kata Ahmad Zahid.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat berfikir secara rasional dan menilai dengan adil kerajaan BN yang menepati janji berbeza dengan pakatan pembangkang ibarat 'saudagar janji.'

Dalam ucapannya semasa merasmikan persidangan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata pembangkang bijak memanipulasi perasaan rakyat melalui janji-janji yang ditabur namun tidak pernah ditunaikan.

"....betul pelbagai bantuan yan diberi kepada rakyat yang layak adalah duit rakyat hasil pelbagai cukai yang dipungut. Kerajaan juga boleh bangkrap dengan bantuan-bantuan tersebut.

"Jika kerajaan tidak cekap menguruskan kewangan negara tentu rakyat tidak akan menikmatinya. Kita kena bersyukur. Alasan tidak mau berterima kasih kepada kerajaan yang memerintah kerana duit itu adalah 'hak' kita semata-mata bertentangan dengan fitrah manusia," jelasnya.

Beliau berkata pembangkang sekarang dikategorikan sebagai 'saudagar janji' kerana banyak membuat janji yang tidak pernah mereka tunaikan.

Menurutnya antara janji tersebut ialah kerajaan Selangor yang sehingga hari ini tidak menunaikan janji memberi RM100 kepada rakyatnya yang berumur 60 tahun ke atas malah menjual banyak aset miliknya.

Kerajaan negeri Kedah pula memperkenal Skim Kafalah iaitu bantuan RM500 kepada keluarga simati dan mewujudkan Tabung Tunku Mahmud untuk menyalurkan bantuan kebajikan kepada rakyat dan membina Kolej Universiti Insaniah (KUIN) berharga RM330 juta namun semua itu lebih awal dilaksanakan kerajaan BN, katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS