Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tidak perlu lagi debat berhubung isu hadis dengan Dr Kassim Ahmad yang pernah berlangsung 26 tahun lalu kerana sarjana kontroversi itu tidak akan mengubah pendiriannya, kata tokoh ulama Dr Ahmad Awang.

Ahmad yang mengetuai debat Pusat Islam berdebat dengan Dr Kassim pada 1986 itu berkata, mengadakan debat sekali lagi hanya membuang masa memandangkan sehingga hari ini penulis itu masih mempertahankan hujahnya.

NONE "Tiada sebab (hendak berdebat). Sudah 26 tahun. Orang ramai pun boleh menilai. Dia berdegil dan cuba cari kesempatan sebenarnya. Dia kata keadaan sekarang dah berubah.

"Mungkin maksud dia mengenai Islam liberal yang ada penyokongnya di kalangan intelektual.

"Tak ada maknalah. Buang masa. Saya takkan fikir untuk berdebat semula," kata Ahmad ketika ditanya sama ada beliau bersedian berdebat sekali lagi dengan Dr Kassim berhubung idea-idea dalam buku Hadis: Satu Penilaian Semula .

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Ahmad berkata, perdebatan 26 tahun lalu 'tergantung' kerana pihaknya tidak sempat berhujah kerana Dr Kassim terpaksa pulang awal untuk mengejar penerbangannya ke Pulau Pinang.

"Perbincangan itu tidak habis kerana Kassim suruh kita mendengar dulu hujahan dia. Tapi lepas dia berhujah hampir sejam lebih, masuk pula waktu Asar. Selepas Asar Kassim perlu balik ke Pulau Pinang kerana tiket kapal terbangnya dalam pukul enam lebih.

"Dia berjanji akan datang semula. Tetapi selepas dua, tiga bulan, dia tidak datang sebaliknya buku itu diterbitkan," kata Ahmad yang juga bekas naib presiden dan anggota majlis syura PAS itu.

'Bukan nilai, tapi tolak'

Ditanya tentang arahan Kementerian Dalam Negeri supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menyemak semula buku itu, Ahmad berkata perkara itu tidak mungkin kerana ia didakwa jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

"Saya sendiri ada salinan buku Hadis: Satu Penilaian Semula sebelum ia diterbitkan. Memang dia menolak hadis. Bukan penilaian semula. Tetapi menolak terus.

NONE "Tapi saya tak tahulah kalau kerajaan ada kepentingan lain (untuk menerbitkan buku)," katanya Ahmad lagi sambil menambah buku itu berbahaya kepada akidah umat Islam.

"Menteri sekarang ini pun tidak tahu mengenai agama. Sebab itu dia serahkan kepada Jakim.

"Buku itu memang banyak bercanggah. Dia kata hadis tak ada dan sunah itu rekaan ulama. Dia kata, kalau ada pun hadis yang boleh digunakan, hanya dua, tiga hadis sahaja.

Dr Kassim bagaimanapun menjelaskan beliau bukan anti-hadis sebaliknya hanya kritikal kepada sumber Islam kedua itu dan menerima kira-kira 40 hadis yang didakwanya tidak bertentangan dengan al-Quran.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, arahan KDN bagi mengkaji semula pengharaman buku Hadis: Satu Penilaian Semula dibuat pada 20 Jun setelah Dr Kassim menuntut perkara itu tiga bulan sebelumnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS