Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menolak usul bagi membahaskan dakwaan deraan terhadap tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.
Beliau berhujah, keputusan itu dibuat kerana tindakan sudah diambil apabila Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bertindak menyiasat dakwaan itu dengan mewawancara tahanan berkaitan.
Menurut speaker ( kiri ), kes itu melibatkan isu keselamatan negara bersifat kerahsiaan, maka tidak sesuai dan tidak logik untuk dibahaskan.
Sehingga sekarang, warganegara Iraq Sami Hammad dan beberapa lagi tahanan masih bermogok lapar tanda bantahan terhadap dakwaan penganiayaan itu.
Anggota parlimen Bakri Er Teck Hwa semalam memfailkan usul membahaskan isu itu bawah Perintah Tetap 18(1) ekoran laporan Malaysiakini dan Suhakam yang mengetengahkan dakwaan deraan terhadap tahanan ISA.
Laporan itu muncul ekoran kebocoran nota menghuraikan jenis deraan daripada kem tahanan Kamunting dan diserahkan kepada media dan beberapa pihak.
Walaupun ISA sudah dimansuhkan pada April tahun lalu, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) yang menggantikannya tidak menjamin pembebasan tahanan sedia ada.
Seksyen 30 dalam akta baru itu menyebut sebarang arahan dikeluarkan bawah ISA tidak terjejas dengan pemansuhannya, kecuali ditarik balik oleh menteri dalam negeri.
[Baca berita penuh]