Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata kenyataan ahli Parlimen Sri Gading mengenai perhimpunan BERSIH dan Datuk S Ambiga adalah bersifat
peribadi dan bukan pendirian parti komponen itu.
"Saya ingin menegaskan bahawa BN mendukung Perlembagaan Malaysia dan prinsip keluhuran undang-undang dan kes berkaitan perhimpunan BERSIH tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat kelmarin, ahli Parlimen Seri Gading itu mencadangkan penganjur perhimpunan BERSIH, Datuk S Ambiga (atas) digantung sampai mati.
Ini kerana Aziz mengaitkannya sama seperti militan Al-Maunah kerana cuba menimbulkan kekacauan dan menjatuhkan kerajaan Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata
ahli Parlimen DAP akan membuat laporan polis terhadap Mohamad Aziz (kiri) yang mendakwa Ambiga sebagai "pengkhianat" kerana menganjurkan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April.
Lim dan lapan lagi ahli parlimen parti itu menyuarakan rasa terkejut mereka.
"Ia satu hasutan, rasis dan mengancam. Ianya rasis kerana ia ditujukan terhadap seorang India dan seorang Hindu. Ia juga ditujukan terhadap seorang wanita," kata Lim dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen.
"Kita tidak akan membuang masa meminta (Mohamad) menarik balik kenyataannya atau memohon maaf, tiada gunanya," kata Lim lagi.
Lim berkata, kenyataan Mohamad "rasis" kerana orang lain dalam
jawatankuasa BERSIH termasuk bersama Pengerusi Bersama, Datuk A Samad Said, terlepas daripada kritikan itu.
Lim berkata, imuniti parlimen tidak akan melindungi Mohamad kerana imuniti seumpama itu adalah terhad.