Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan meminta Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub memohon maaf kepada masyarakat India di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan yang menyamakan perarakan sempena Thaipusam dengan demonstrasi jalanan.

Ketua Pemuda MIC T Mohan, yang meminta Salahuddin berbuat demikian dalam tempoh 24 jam, berkata Naib Presiden PAS itu harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenyataan tersebut, yang dibuatnya pada debat bertajuk Demonstrasi Jalanan: Mengukuh atau Meruntuh Demokrasi pada Selasa lepas.

Beliau berkata Pemuda MIC juga telah membuat laporan polis terhadap Salahuddin, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan berbaur hasutan.

Mohan berkata Thaipusam adalah upacara keagamaan yang menyaksikan masyarakat Hindu melaksanakan nazar serta menyembah tuhan, dan bukan berbentuk demonstrasi jalanan.

"Kenyataan ini mengundang rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat India. Saya hairan bagaimana seorang Anggota Parlimen yang matang boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian, lebih-lebih lagi dengan mengaitkan dan mengutuk upacara keagamaan dan kepercayaan sebuah kaum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoal tindakan dan pendirian pemimpin India dalam Pakatan Rakyat yang sehingga kini gagal mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS