Bekas Ketua Wira kumpulan pendesak Melayu PERKASA Arman Azha Abu Hanifah berkata, pertubuhan yang pernah disertainya itu tidak memiliki sebarang penaja, tidak kira sama ada dari segi kewangan mahupun logistik.
Arman yang kini merupakan naib pengerusi unit pidato BN berkata, semasa memegang jawatan ketua wira PERKASA, beliau sendiri perlu mencari penaja bagi setiap program yang dibuat.
"Setiap kali nak buat program, saya akan jumpa sahabat-sahabat saya yang mana ingin bantu. Ada yang tolong bagi dua atau tiga ratus (ringgit). Bukan dapat banyak. Ini persepsi.
"Tak ada (penaja tetap). Bagi saya ini adalah tanggungjawab apabila pegang (bekas) ketua Wira PERKASA Malaysia, menjadi tanggungjawab mencari penaja," katanya ketika ditemubual Malaysiakini.
Arman yang pernah bersama PERKASA selama dua setengah tahun berkata, selain meminta bantuan penajaan untuk membuat program daripada kawan-kawan terdekat, beliau juga menggunakan wang simpanan sendiri sebagai usaha sukarelanya terhadap pertubuhan tersebut.
"Bagi saya, bila kita pegang mana-mana jawatan dan amanah, keseluruhannya tanggungjawab kita. Maknanya, daripada segi pergerakan, logistik program, kita gunakan kebijaksanaan kita untuk memacu NGO. Dan bukan mudah untuk kita cari penaja untuk dapatkan bantuan," katanya.
Bukan agen Umno
Selain itu, Arman turut berkata, PERKASA juga bukan merupakan agen Umno seperti yang sering dikatakan.
Beliau menegaskan, PERKASA dan Umno merupakan dua badan yang berbeza dan menyifatkan, masing-masing membawa perjuangan mereka yang tersendiri.
"Inilah persepsi yang dilontarkan. PERKASA adalah PERKASA. Umno adalah Umno. Itu dua perkara berbeza.
"Jadi saya ambil inisiatif sebelum tinggalkan PERKASA, kuatkan jentera Wira PERKASA. Saya telah kuatkan barisan exco Pusat sebelum saya letak jawatan. Saya tinggalkan PERKASA dengan keadaan yang boleh dipacukan," katanya.
Selain itu, ketika ditanya kenapa beliau meninggalkan PERKASA, Arman, 37, berkata, beliau meninggalkan pertubuhan itu bukanlah disebabkan wang.
Sebaliknya, katanya, beliau ingin memberi ruang kepada ahli baru untuk menerajui jawatan yang disandangnya dahulu.
3 bulan pertimbang letak jawatan
Menurut Arman lagi, sepanjang penglibatannya bersama PERKASA, beliau hanya menerima wang berjumlah RM1,700 sahaja bagi keseluruhan dua setengah tahun tersebut.
"PERKASA memang tak ada penaja atau orang biaya. Itu yang kita tau. Kita tak ada penaja.
"Saya hari ini boleh katakan wallahi, wabillahi, watallahi, sepanjang saya dalam PERKASA RM1700 sahaja saya dapat. Dan saya tak pernah menyesal sebab perjuangan lebih utama.
"Saya punya prinsip. Kita harus beri peluang pada anak muda untuk rasa macam mana jadi pemimpin. Jadi bagi saya, ketika saya tinggalkan PERKASA itu saya yakin PERKASA boleh berjalan terus," katanya.
Arman juga berkata menambah beliau mengambil masa hampir tiga bulan untuk membuat keputusan sebelum meletakkan jawatan.
Wawancara dijalankan oleh Aidila Razak, Zulaikha Zulkifli dan Nicholas Wong.