Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah membekukan sementara pelantikan Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan keahliannya dalam koperasi tersebut.
Hakim Abang Iskandar Abang Hashim berkata terdapat merit untuk membenarkan empat peneroka Felda mencabar keahlian Isa dan sebagai pengerusi KPF.
Hakim Datuk Abang Iskandar juga menolak semua bantahan awal yang dibangkitkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, kata peguam peneroka berkenaan, Mohamed Hanipa Maidin kepada pemberita.
Oleh itu, keputusan dalam kamar hari ini membenarkan pembekuan sementara terhadap keahlian Isa dalam KPF dan kedudukannya sebagai pengerusi.
"Jadi ada mesyuarat esok dan Isa tak boleh hadir," kata Hanipa kepada pemberita selepas muncul dari kamar hakim. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan, Hanipa Maidin mewakili pemohon Abdul Talib Ali, Abdul Mubin Abdul Rahman, Abdul Razak Mohammad dan Muhamad Noor Atan manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili responden iaitu Panel Pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SKM, dan KPF.
Katanya, mahkamah juga membenarkan permohonan pemohon untuk mendapatkan perintah sementara bagi menggantung status keanggotaan dan pemilihan Mohd Isa dalam KPF di bawah Seksyen 36(1)(b) Undang-Undang Kecil KPF, bagi tujuan pengesahan mesyuarat agung perwakilan KPF yang akan diadakan pada 20 Jun ini dan juga sehingga keputusan penuh semakan kehakiman.
Hanipa berkata antara alasan yang dikemukakan Pejabat Peguam Negara itu ialah peneroka Felda bukanlah pihak yang terjejas dengan keputusan responden dan mereka juga tidak ada 'locus standi' untuk menfailkan saman itu dan isu itu bukan melibatkan undang-undang awam.
"Tarikh untuk pendengaran penuh semakan kehakiman belum ditetapkan oleh mahkamah," katanya.
Pada 12 Jun lepas, keempat-empat peneroka itu menfailkan permohonan itu bagi memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama dan kedua iaitu Panel Pertikaian SKM, SKM, bertarikh 23 Mei lepas, yang mengekalkan keanggotaan Mohd Isa adalah tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.
Mereka juga memohon mahkamah membatalkan keputusan itu dan perintah 'mandamus' supaya KPF membatalkan keanggotaan Mohd Isa dalam KPF.
Mereka juga memohon perintah sementara bagi menggantung status keanggotaan dan pemilihan Mohd Isa dalam KPF.
Pemohon mendakwa berdasarkan Peraturan 11(1)(c) yang dibaca bersama Peraturan 2 Undang-Undang Kecil KPF, Mohd Isa tidak layak menganggotai KPF kerana beliau bukan kakitangan yang dilantik secara tetap oleh Felda.
Mereka berkata Mohd Isa adalah pengerusi Felda yang dilantik secara kontrak dan seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan.