Naib Presiden PAS Salahudin Ayub menyifatkan soal pengangguhan menunaikan ibadah haji bukan menjadi satu isu ekoran desas-desus pilihan raya akan diadakan pada waktu tersebut.
Sebaliknya, kata beliau, isu sebenarnya adalah kerajaan didakwa mahu mengadakan pilihan raya pada musim tersebut.
"Pilihan raya nampak macam tak jadi. Kalau tak bubar minggu depan, ramalannya diadakan lepas hari raya puasa, musim pergi haji.
"Pergi haji atau tidak bukan isunya. Isunya adalah jangan susah rakyat, (kerajaan) jangan buat pada musim haji," katanya kepada kira-kira 300 hadirin dalam majlis hi-tea di Bukit Pasir, dalam DUN Jorak, Pagoh.
Turut hadir bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa dan dua ADUN PAS di Johor.
Sementara itu, Abdul Hadi turut menempelak pihak yang "membuat ribut" berhubung isu penangguhan haji jika pilihan raya berlangsung pada waktu tersebut.
Beliau menganggap pihak tersebut "tidak membaca sejarah atau buta sejarah" kerana penangguhan umrah dan haji pernah berlaku di zaman Nabi Muhammad SAW.
Ia berdasarkan kepada peristiwa selepas perjanjian Hudaibiyah di mana, penduduk Madinah yang datang ke Mekah tidak dibenarkan menunaikan umrah pada tahun tersebut dan diminta menunaikan pada tahun berikutnya.
"Perjanjian Hudaibiyah diiktiraf, (sekaligus) mengiktiraf Madinah negara yang sah mengikut kaedah antarabangsa," katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan medianya, Abdul Hadi berkata dalam peristiwa Hudaibiyah, Rasulullah dan para sahabat telah memakai pakaian ihram bagi menunaikan umrah.
"Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah dan berakhir dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya menangguhkan umrah.
"Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam (denda) tanpa menunaikan umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian Hudaibiyah memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan," katanya.
Menurutnya lagi, Rasulullah SAW menangguhkan ibadat hajinya walaupun diwajibkan lebih awal.
"Ada kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman Nabi Adam. Ada yang menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang menyatakan di tahun ketujuh hijrah.
"Rasulullah SAW membebaskan Makkah (Fathul Makkah) daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan haji dan menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain.
"Walaupun banyak harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah masuk bulan syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa menunaikan haji," katanya.
Abdul Hadi berkata Rasulullah SAW menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A supaya memimpin umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah.
"Adapun Rasulullah SAW menangguhkan haji sehingga tahun kesepuluh hijrah, sebelum sedikit kewafatan baginda.
"Para ulama menegaskan bahawa wajib haji adalah muwassa', boleh ditangguh dan Rasulullah SAW mendahulukan urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang datang menyerah diri masuk Islam atau sedia berdamai," katanya.
Abdul Hadi berkata para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak melakukannya menjadi wajib juga.
"Begitulah pilihanraya adalah cara memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua mazhab Islam dengan nas dan ijmak, kecuali mazhab yang sesat.
"Al-Quran menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari kiamat nanti.
"Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan umrah," katanya.