Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dakwaan Pakatan Rakyat yang yakin menang sekurang-kurangnya 105 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang sebagai satu 'perang psikologi' semata-mata.
Angka itu dinyatakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berdasarkan "perkiraan dan bacaannya" terhadap peristiwa semasa seperti tindakan pembekuan PTPTN yang dibuat kerajaan BN baru-baru ini.
Jumlah itu hanya kurang enam kerusi untuk menewaskan BN dengan majoriti mudah.
"Tak apalah, dia buat survey kita pun (boleh) buat survey juga. Itu bukan perkara baru. Dia bermain psy-war (perang psikologi).
"Kita pun tahu di mana kekuatan kita. Macam di Wilayah (Persekutuan) ada 13 kerusi kita tahu mana kekuatan kita mana kelemahan kita," katanya.
Muhyiddin memberita pemberita demikian selepas majlis lawatan kerjanya di Sungai Besi petang tadi.
Dalam isu berlainan, Muhyiddin enggan mendedahkan dakwaan terdapat perjanjian rahsia di antara MCA dan Dong Zong (Pertubuhan Jawatankuasa Bersatu Sekolah Cina), yang mendakwa MCA bersetuju mengekalkan status Sijil Pperiksaan Bersepadu (UEC) seperti sedia ada.
Menurutnya, perkara yang mustahak sekarang ini adalah terus memajukan sistem pendidikan negara.