Timbalan perdana menteri menyifatkan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) sebagai "adil" kerana ia hanya reaksi kepada dasar PKR.
"Dia tangguh, bukan batal, nak periksa dulu. Fair lah. Kalau MB kata tak payah ambik, tak payah bagi lah," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya berhubung tindakan PTPTN secara 'senyap-senyap' itu.
Beliau bagaimanapun menyifatkan soalan pemberita itu sebagai " very malicious " (sangat berniat jahat).
" Your question is very malicious (Soalan kamu sangat berniat jahat). Jangan hala ke situ, saya fikir semua media sini tahu," katanya lagi.
Diasak lagi kenapa universiti milik kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu tidak dimaklumkan, Muhyiddin hanya menjawab:
"Tak apalah. Dia kaji dulu."
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan PTPTN membekukan pinjaman kepada mahasiswa Unisel milik kerajaan Selangor.
Pembekuan itu bertujuan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat membuktikan mereka mampu memberikan pendidikan percuma di negeri itu, lapor Utusan Malaysia.
[Baca berita penuh]