Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) semalam menerima surat dari peguam ZI Publications, penerbit buku bertajuk "Allah Liberty & Love - Courage To Reconcile Faith & Freedom," karya penulis kontroversi, Irshad Manji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika bercakap kepada pemberita di Putrajaya bagaimanapun enggan mendedahkan isi kandungan surat itu dan menyerahkan kepada Jawi untuk tindakan selanjutnya.
Surat itu dipercayai ada kaitan dengan rampasan buku berkenaan oleh JAWI di sebuah kedai buku di ibu negara pada 23 Mei lepas.
Berikutan itu, portal berita melaporkan penerbit itu menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas JAWI kerana dikatakan 'bertindak tanpa mengikut lunas undang-undang'.
"Kalau perlu untuk dibawa ke bahagian undang-undang dan sebagainya, ia akan diuruskan sendiri oleh JAWI," kata Jamil Khir.
Sehubungan itu Jamil Khir berkata apa juga cabaran dan tindakan yang akan diterima, ia tidak harus mematahkan semangat JAWI untuk terus memantapkan Islam.
Beliau berkata penerbit buku itu seharusnya maklum mengenai keperluan mendapatkan permit untuk penerbitan khususnya untuk buku agama.
"Ini kerana sebarang buku terutamanya buku-buku agama yang tidak mendapat permit itu secara automatik akan diharamkan penerbitannya. Jadi tidak perlu timbul soal dirampas Jawi atau diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.
KDN sebelum ini mengharamkan buku berkenaan kerana dikata mengelirukan orang awam dan menyalahi syariah sebagaimana menurut Al-Quran dan Hadis.
Terdahulu, Jamil Khir menyerahkan RM700,000 wang zakat kepada 27 badan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk menampung sebahagian daripada aktiviti dan program kebajikan dan dakwah.
"Sumbangan ini untuk membantu NGO Islam yang bergerak aktif di Wilayah Persekutuan berkongsi dana. Lebih-lebih lagi tinggal beberapa bulan lagi menjelang bulan Ramadan. Jadi mereka boleh menggerakkan lebih banyak aktiviti," katanya.
- Bernama