Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno: Nilai pemimpin bukan lihat semangat berceramah
Diterbitkan:  Jun 5, 2012 11:15 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta rakyat menilai kepimpinan negara berdasarkan keupayaan mengotakan janji dan bukan melihat semangat mereka ketika berceramah serta pada retorik semata-mata.

Beliau yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah berkata penilaian terhadap pimpinan kerajaan seperti itu wajar memandangkan jika dapat mengotakan janji adalah jelas lebih baik dan memberi impak nyata kepada rakyat.

Shafie berkata perlu dilihat apa yang dapat dinikmati rakyat sama ada dari segi fizikal, sosial dan ekonomi.

"Saya tekankan bahawa dalam kita menilai dan memilih mana satu kepimpinan atau parti yang perlu disokong janganlah hanya berlandaskan janji dan ucapan mereka sahaja.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun baru tiga tahun menerajui kerajaan namun telah mencetuskan banyak idea untuk membela rakyat dan memajukan negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Simunul dan Kampung Air dekat Semporna semalam.

"Semua itu harus menjadi perhitungan. Bukan hanya membangkitkan semangat, mendengar janji dan tohmahan serta fitnah. Memang sedap mengkritik individu atau seseorang, tetapi untuk melaksanakan sesuatu bukan satu kerja mudah," katanya.

Shafie berkata sebagai contoh untuk membina jalan luar bandar di seluruh negara demi keselesaan rakyat dari negeri Perlis hingga ke Sabah bukan tugas yang mudah.

Beliau berkata atas keazaman membela rakyat dan seperti dijanjikan kerajaan BN melalui kementeriannya sudah menyiapkan kira-kira 2,300 kilometer jalan luar bandar.

Katanya, di bawah kepimpinan Najib banyak program dan agenda penambah baikan terhadap sistem kerajaan diperkenal serta dilaksanakan kerana menyedari kerajaan tidak sempurna dan bagi memastikan negara terus ditadbir di atas landasan yang sepatutnya. |

Pada masa yang sama, kata Shafie perubahan yang dilakukan Najib dengan mengambil kira perubahan dan perkembangan semasa negara adalah demi kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, keadaan ekonomi Malaysia sekarang yang masih mantap meskipun persekitaran ekonomi dunia tidak menentu, membuktikan keupayaan kepimpinan negara mentadbir yang turut diperakui pemimpin negara maju termasuk Perdana Menteri Britain, David Cameron.

Shafie berkata adalah tidak wajar menyokong pemimpin yang menggalakkan demonstrasi jalanan kerana ia boleh menyebabkan negara porak-peranda, membawa kesusahan kepada rakyat dan menghancurkan segala perancangan pembangunan yang kini berjalan dengan baik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS