Mana-mana pelajar yang mendapat pinjaman dan tajaan pendidikan adalah tertakluk kepada perjanjian pinjaman dan tajaan itu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata sekiranya pelajar melanggar perjanjian itu, tindakan boleh diambil seperti menarik balik pinjaman dan tajaan yang diberikan.
"Pihak penaja mengenakan syarat penajaan yang ketat bagi memastikan keputusan menaja pelajar adalah betul dan tepat di samping pelajar menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang," katanya.
Sekiranya tiada tindakan diambil, pihak penaja tidak dapat mencapai objektif penajaan dan ia juga tidak adil bagi pelajar yang tidak mendapat penajaan tersebut, katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Kongres India Muslim Malaysia bahagian Pasir Gudang di Masai hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai nasib dua pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang dikenal pasti terlibat dengan perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara April lepas.
Katanya kementeriannya tidak akan melindungi pelajar terbabit kerana mereka tertakluk kepada undang-undang negara walaupun bebas berpolitik di luar kampus selaras dengan Pindaan Akta Universiti Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2012.
"Apa jua tindakan mereka di luar kampus adalah di luar bidang kuasa kita," tegas Khaled.
Tindakan yang bakal diambil ke atas pelajar yang masing-masing berasal dari Durian Burung, Kuala Terengganu dan Rhu Renggeh, Marang bakal diketahui selepas mesyuarat lembaga pengarah yayasan itu berlangsung dalam masa terdekat.
Semalam, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan kedua-dua pelajar degil itu berikutan rakaman yang diperoleh serta dimuat naik sendiri dalam laman sosial kepunyaan kedua-dua pelajar itu.
Ahmad Said kesal kerana masih ada pelajar yang tidak mengambil iktibar dan pengajaran terhadap tindakan menarik balik serta merta pinjaman sembilan pelajar sebelum ini kerana kesalahan menyertai demostrasi haram di luar negara.
- Bernama