Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom memberi amaran kepada Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (KERABAT) yang mengkritik tindakannya membuat "senaman punggung" di hadapan rumah Datuk S Ambiga di Bukit Damansara dua minggu lalu.

NONE Mohd Ali (kiri) menyifatkan teguran Presiden KERABAT Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai tanggapan luar biasa terhadap gimik yang dilakukan mereka.

"Saya berterima kasih. Itu hak saya. Hormati hak saya. Tapi saya nak beri amaran pada (presiden KERABAT) Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, jaga rumah beliau, jangan masuk rumah orang," katanya ketika ditemubual Malaysiakini di rumahnya di Puchong.

Kedua-dua NGO untuk pesara tentara itu mempunyai pendirian berbeza dalam pelbagai isu apabila PVTM cenderung kepada kerajaan manakala KERABAT pula dilihat sebaliknya.

Selepas senaman punggung kontroversi sebelum ini, KERABAT tampil menyelar tindakan itu dan menganggapnya bertentangan dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara.

Sementara itu, Mohd Ali juga terus mengasak KERABAT supaya memberikan penjelasan berhubung laporan yang mengatakan mereka mendakwa tentera disuruh untuk makan daging tidak halal.

"Saya cabar dia supaya jawab pertanyaan saya hari ini. Saya ada rakaman. Dia mengatakan dahulu kita (tentera) di suruh makan daging tidak halal. Siapa yang suruh?" kata Mohd Ali, 41, sambil mendakwa kenyataan itu dibuat di Puchong suatu ketika dahulu.

PVTM pada 5 Oktober lalu dilaporkan sudah menggesa Kementerian Pertahanan menyiasat dakwaan itu.

Ketua penerangannya Mohd Jurit Ramli berkata, pihaknya pelik mengapa dakwaan itu muncul sekarang dan bukan semasa pemimpin KERABAT masih berkhidmat.

Mohd Ali yang dikenali sebagai Ali Tinju turut mempertikaikan KERABAT yang didakwa tidak menjalankan apa-apa aktiviti di Wilayah Persekutuan dan Selangor bagi membela nasib pesara tentera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS