ULASAN DAP mengecam keganasan bersiri dalam tempoh beberapa minggu yang lepas di acara-acara Pakatan Rakyat yang membabitkan pemimpin Pakatan.
Insiden ini berlaku di Felda Lepar Hilir, Pahang (mengancam Nurul Izzah), Sembrong Johor (kereta Anwar dibaling dengan batu), Padang Kota Lama, Pulau Pinang (di mana saya diancam), Merlimau (Melaka), Lembah Pantai, Pekan Bangi, Kuala Kangsar dan yang terbaru di Pengerang, Johor.
Ini menunjukkan bahawa pilihan raya umum yang akan datang ini bakal menjadi pilihan raya yang paling ganas dalam sejarah akibat keadaan terdesak BN untuk mengekalkan kuasa tanpa mengira apa-apa.
Sejak Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak menggunakan ungkapan dahsyat iaitu, “Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan” semasa Perhimpunan Agung Umno pada 21 Oktober 2010, Umno makin menggunakan bahasa kebencian dan keganasan.
Seruan Najib pada hari itu membuktikan bahawa bahasa keganasan bukan sekadar terhad kepada kata-kata tetapi sudah pun menjadi tindak-tanduk samseng yang ganas dan tidak berakal.
Walaupun keganasan penyokong Umno terhadap para pemimpin dan penyokong PR sudah dibuktikan dengan gambar dan rakaman video, mereka yang bertanggungjawab masih belum didakwa dalam mahkamah.
Malah penyokong-penyokong Umno yang dirakam memukul dan mencederakan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang dalam dua insiden pada Julai tahun lepas dan 26 Februari 2012 juga tidak didakwa.
Kegagalan polis dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas samseng di kalangan penyokong BN hanya akan menggalakkan lebih keganasan terhadap pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PR.
Ini membuktikan bahawa kerajaan BN tidak berminat dengan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil tetapi ingin menyemaikan ketakutan dan sanggup mempertikaikan demokrasi.
DAP menyatakan kebimbangan untuk keselamatan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi sasaran utama ahli-ahli Umno.
Adakah pemimpin-pemimpin PR, termasuk Ketua Menteri dan wakil-wakil rakyat, perlu dicederakan sebelum apa-apa tindakan diambil untuk melindungi mereka bagi memastikan kempen politik yang bebas daripada keganasan?
Walaupun pemimpin-pemimpin PR terdedah dan tidak berupaya untuk mempertahankan diri daripada keganasan tak berakal oleh penyokong-penyokong BN, pemimpin-pemimpin PR akan terus berkempen dan mendekati rakyat, biarpun di kubu kuat BN seperti Johor. Saya akan melawat Johor minggu depan di Kulai dan Kluang.
DAP mengingati BN supaya mengambil iktibar daripada taktik-taktik keganasan bekas diktator Mesir Hosni Mubarak terhadap rakyatnya yang akhirnya telah gagal dan ditolak.
Rakyat sudah tidak takut dengan taktik-taktik penindasan kerana mereka mahukan kebebasan.
Seperti yang dikatakan oleh Thomas Jefferson: Apabila rakyat takut kepada kerajaan, itu namanya kezaliman; Apabila kerajaan takut kepada rakyat, itu namanya kebebasan.
LIM GUAN ENG merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.