Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan Timbalan Presiden, Azmin Ali dan bekas ahli majlis pimpinan pusat, Badrul Hisham Shaharin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mengambil bahagian dalam protes jalanan, di bawah Akta Perhimpunan Aman.
Anwar bersama dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Mahkamah Sesyen 5 pada jam 9.15 pagi.
Bekas peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden - yang mengetuai pasukan pendakwa dalam kes Liwat 11 terhadap Anwar - kali ini bersama peguam kanan Karpal Singh dalam pasukan peguambela ketua pembangkang itu. Mohd Yusof meletak jawatan dari Jabatan Peguam Negara pada akhir perbicaraan kes liwat tersebut.
Anwar memberitahu Hakim Mahmud Abdullah bahawa pertuduhan tersebut adalah satu lagi kempen "politik" terhadapnya, dan dia tidak mengaku bersalah.
Peguam Karpal dan Yusof, meminta Anwar dibenarkan bon peribadi tetapi ia dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamad.
Hakim mengarahkan ikatjamin RM500 dan menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes tersebut.
Sementara itu, Azmin yang diwakili oleh peguam Sivarasa Rasiah dan Gurcharan Singh, dan Badrul Hisham (bawah, kanan) , yang diwakili oleh peguam Latheefa Koya, juga telah dikenakan ikatjamin RM500 jamin setiap.
Ketiga-tiga mereka merupakan yang pertama didakwa di bawah Akta Berhimpun Aman yang diluluskan baru-baru ini, di mana Anwar dan Azmin boleh kehilangan jawatan mereka sebagai wakil rakyat jika didapati bersalah.
Mereka boleh didenda RM10,000 jika sabit kesalahan di bawah akta tersebut. Wakil rakyat secara automatik hilang jawatan jika disabit oleh mahkamah dan didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa mengambil bahagian dalam yang perhimpunan BERSIH 3.0 dan melanggar perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir, bertarikh 26 April yang melarang perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan yang bersempadan dengan Jalan Sultan Hishamuddin , Jalan Raja dan Jalan Kelab.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April.
Mereka juga menghadapi satu lagi tuduhan di bawah Kanun Keseksaan, iaitu bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dengan Tangam a/l Raju, Rajesh Kumar a/l Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April.
Azmin dituduh bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh dan Farhan membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka yang mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.