Sekumpulan NGO Islam menuntut kerajaan memberi penjelasan dan memohon maaf berhubung kehadiran penulis buku Allah, Kebebasan dan Cinta, Irsyad Manji ke ibu negara Sabtu lalu.
Kumpulan NGO tersebut menyatakan bahawa mereka kesal kerana pihak berkuasa gagal menghalang kemasukan Irsyad Manji dan juga program pelancaran dan penjualan bukunya tersebut.
Kenyataan kumpulan NGO tersebut – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Persatuan Ulama Malaysia dan Allied Coordinating Committee of Islamic NGO – turut menuntut kerajaan memberi jaminan supaya perkara tersebut tidak berulang.
"(Buku tersebut) sarat dengan unsur religiophobia dan Islamophobia. Khasnya menfitnah dan menghina agama secara terbuka," kenyataan itu dipetik.
Kumpulan pertubuhan Islam itu juga kesal dengan pihak yang terlibat dengan pelancaran buku tersebut, termasuk penerbit, ZI Publication dan juga Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor yang menjadi lokasi pelancaran pada Sabtu lalu.
Pihak berkenaan disifatkan mereka sebagai "tidak sensitif terhadap peningkatan dan kemerbahayaan isu Religiophobia dan Islamophobia apabila sedia membantu tindakan tidak bertanggungjawab Irsyad Manji tersebut."