Penganjur demonstrasi 24 dan 25 Mei di hadapan kediaman pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga akan melelong salah satu tapak gerai di lorong tersebut pada harga bermula RM2,000.
Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur Datuk Jamal Md Yunus berkata lelongan itu untuk menampung kos mereka untuk menganjurkan demonstrasi berkenaan.
Peniaga kereta mewah itu berkata, mereka juga akan meneruskan rancangan untuk berniaga di kawasan lorong tersebut walau tanpa kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, mereka akan bertindak sedemikian memandangkan BERSIH juga mengadakan perhimpunannya pada 28 April tanpa kebenaran pihak berkuasa.
"Kita akan teruskan walaupun DBKL tak beri (kebenaran). Kita lukis petak pada hari ini pun untuk tunjukkan yang kami bersungguh-sungguh untuk buat perniagaan di sini," katanya sambil menambah setiap peniaga perlu membayar RM100 untuk satu tapak.
"Esok kita akan membuat permohonan di DBKL pada pukul 10.30 pagi. Selepas berjumpa dengan Datuk Bandar, di depan bangunan itu juga kita akan membuat cabutan tapak dan juga akan membida tapak di hadapan rumah Ambiga yang harganya bermula RM2,000.
"Saya yakin, harga tapak itu akan tinggi. Tujuan kita membida tapak itu adalah bagi menampung kos majlis bertindak ini. Kami tak ada duit tabung," kata Jamal lagi.
Pemilik rangkaian restoran Sekinchan Ikan Bakar itu ditemui pemberita ketika hadir bersama kumpulan yang hadir untuk menanda petak gerai berkenaan hari ini.
Katanya, kumpulan 60 peniaga itu juga merancang untuk terus "berkampung" selepas demonstrasi dengan membuka gerai itu, sehinggalah tuntutan mereka mereka dipenuhi.
Tindakan itu akan diteruskan sehingga Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menjawab mengenai kerugian yang didakwa dialami peniaga berkenaan.
"Kalau pada 24 dan 25 haribulan tak ada pihak yang jawab siapa yang bertanggungjawab untuk ganti kerugian peniaga pada BERSIH 1.0, 2.0, dan 3.0, kita akan berkampung di sini dan akan berkhemah sama macam pelajar yang tuntut PTPTN dimansuhkan.
"Kita akan terus berkampung sehingga ada pihak yang jawab," katanya yang menganggarkan seramai 10,000 akan hadir dalam demonstrasi "Bersih 4.0 - Mencucikan Bersih 1,2,3" itu.
Kumpulan itu merancang untuk membuka gerai bagi menjual pelbagai barangan, makanan dan minuman dari pukul 3.30 petang sehingga 8 malam pada hari terbabit dengan sasaran untuk mendapatkan pulangan antara RM300 hingga RM500 sehari.