Pemuda Umno Jasin menafikan bahawa ahlinya bertanggungjawab membaling telur dan batu pada kereta dua ADUN DAP ketika satu jamuan minum petang di Merlimau bersama pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga.
Setiausaha Pemuda Umno bahagian itu, Jezlee Tit berkata insiden membaling telur dan batu itu berlaku di luar jangkaan mereka.
Malah, arahan untuk membawa telur dan batu juga tidak dikeluarkan, katanya yang juga ketua Pemuda Umno cawangan Merlimau.
"Saya sendiri tak pasti siapa yang baling dan buat. Sebab semalam kita panggil yang ada sekali masa itu (demonstrasi) ada yang Umno ada yang bukan Umno.
"Di bahagian saya, memang saya tak ada keluarkan arahan bawa telur dan batu. Saya juga yakin ini bukan kerja budak-budak saya. Budak Jasin tak macam tu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Katanya, program asal mereka ialah untuk mengadakan demonstrasi aman bagi menunjukkan prot ADUN Bandar Hilir es terhadap kehadiran Ambiga.
Beliau mengulas kejadian serangan yang didakwa dilakukan ke atas kereta dua adun DAP, Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew (Bandar Hilir) serta kereta pengikut mereka.
Khoo mendakwa, salah satu daripada tayar kenderaan milik Tey juga dipancitkan, selain kerosakan pada cermin sisi dan badan kereta tersebut.
Dakwa kereta langgar kanak-kanak
Menceritakan kembali kejadian malam tadi, Jezlee berkata, demontrasi tersebut pada awalnya dijalankan secara aman tanpa gangguan.
Kejadian membaling telur dan batu itu kemudiannya berlaku selepas kenderaan berkenaan didakwa melanggar seorang kanak-kanak.
"Tapi sebelum itu, kereta itu ada terlajak dan terlanggar seorang budak. Mungkin budak tu marah itu yang jadi macam tu...
"Benda itu benda yang tak baik dan kita pun tak minta dia orang buat," katanya lagi.
Menurutnya lagi, beliau juga menghalang individu berkenaan daripada menyerang kenderaan tersebut dan membantu kereta tersebut keluar dari kawasan tersebut.
"Saya sendiri ada dekat kereta. Kami semua bagi laluan untuk bawa kereta tu keluar... Saya kata jangan... tapi lepas sahaja kereta tu lepas, kejadian itu berlaku...
Jezlee berkata, pihaknya juga tidak mempunyai masalah dengan ceramah anjuran DAP.
Bagaimanapun, kehadiran Ambiga ke program itu tidak dipersetujui kerana peguam tersebut didakwa telah menghina Islam.
"Kami tak setuju dia datang sebab secara jelas dia memperlekehkan Islam, lekeh undang-undang. Kami buat demonstrasi itu untuk nyatakan secara jelas dekat dia," katanya lagi.