Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) hari ini mengumumkan membatalkan rancangan untuk membawa peniaga berniaga di hadapan Pengerusi Bersama BERSIH Datuk S Ambiga pada 24 Mei ini.
Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah (gambar bawah, berkemeja putih) berkata selain "menghormati undang-undang dan polis", pembatalan itu dibuat kerana matlamat mereka untuk memberi pengajaran kepada Ambiga sudah tercapai.
"Kita sudah cukup memberi pengajaran kepada Ambiga. Kita bukan berniaga depan pintu masuk... Kita nak bagi dia rasa. Sekarang dia dah rasa.
"Kita nak bagi dia sedar. Satu dua jam dia dah tak tahan, bagaimana (dengan perasaan) peniaga yang satu hari (tidak berniaga). Siapa nak tanggung (kerugian)," katanya.
Sebelum ini, IKHLAS mencetuskan kontroversi apabila bertindak membuat "protes burger" di hadapan rumah Ambiga yang juga seorang peguam.
Bercakap dalam sidang media di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Mohd Ridzuan menegas sekiranya terdapat peniaga yang berniaga di hadapan rumah Ambiga, pihaknya tidak akan bertanggungjawab.
Menurutnya, setakat hari ini seramai 200 peniaga telah menyatakan persetujuan untuk berniaga di hadapan rumah Ambiga.
"Oleh kerana akan ada sekatan polis dan DBKL, kita hormati polis. Maka saya nak beritahu tidak akan berlaku pada tarikh tersebut," katanya.