Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menubuhkan panel siasatan bebas dan terbuka ke atas pencabulan hak asasi oleh polis sewaktu perhimpunan 28 April lalu.

Perkara itu dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan BERSIH kepada Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam petang tadi.

NONE Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan memorandum tersebut, pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga berkata, keganasan yang dilakukan polis semasa perhimpunan tersebut merupakan tindakan paling buruk setakat ini.

"Pencabulan hak asasi sehingga ke tahap ini tidak wajar dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa kita mengetahui kebenaran dan keadilan buat semua mangsa," katanya ketika membaca satu kenyataan.

Mengulas mengenai dakwaan tindakan ganas polis ke atas peserta perhimpunan yang menyerah diri kepada pasukan itu, Ambiga berkata perbuatan seperti itu hanya akan memburukkan keadaan.

Tambahnya, sehingga kini polis hanya mengumumkan senarai 141 orang yang dikehendaki tetapi tidak mendedahkan nama dalam senarai itu.

Ramai yang masih tidak tahu sekiranya nama mereka juga termasuk dalam senarai tersebut, katanya lagi kepada pemberita.

Dipukul lepas serah diri

Dalam pertemuan sama, BERSIH melalui peguam Lawyers for Liberty (LFL) turut menggesa Suhakam campur tangan dalam isu berkenaan.

NONE Peguam LFL, Fadiah Nadwa Fikri, memaklumkan kepada Suhakam mengenai kes melibatkan seorang peserta perhimpunan, Mohd Safuan Mamat, 25 tahun yang mendakwa dipukul dengan getah hos air supaya mengaku bersalah selepas menyerah diri 14 Mei lalu.

"Ini amat merisaukan kerana polis sudah mula memburu mereka yang disenaraikan ini," kata Fadiah kepada pemberita.

Katanya, badan peguam itu bimbang polis akan menangkap orang ramai tanpa ditemani peguam sewaktu ditahan dan menerima nasib seperti Mohd Safuan.

Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam yang menerima memorandum itu memberi jaminan Suhakam akan menelitinya dan menemui BERSIH dalam masa seminggu.

"Kami akan meneliti memorandum ini dan memaklumkan orang ramai.

"Kami juga akan menghubungi Ketua Polis Negara untuk tindakan susulan berkaitan akses (peguam) kepada mereka yang ditahan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS