Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kediaman pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga menjadi tumpuan lagi hari ini selepas dua demonstrasi dilakukan oleh kumpulan anti-BERSIH di kawasan tersebut sejak dalam tempoh seminggu.

Tinjauan Malaysiakini ke lokasi berkenaan petang ini mendapati sekumpulan 10 orang penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan lima anggota polis hadir ke lokasi berkenaan petang ini untuk membuat kawalan.

Kumpulan penguatkuasa dan anggota polis itu berkawal di satu bahagian jalan, selang beberapa buah rumah daripada kediaman Ambiga.

Seorang penguatkuasa DBKL tersebut yang ditemui memberitahu Malaysiakini bahawa mereka mendapat maklumat bahawa sekumpulan individu akan membuka gerai pasar malam di hadapan rumah peguam tersebut.

Bagaimanapun, tinjauan pada kira-kira jam 5 petang ini mendapati tiada sebarang tindakan seperti itu dijalankan oleh mana-mana kumpulan.

Demonstrasi anti-BERSIH di depan rumah Ambiga itu dimulakan oleh sekumpulan peniaga pada 10 Mei lalu yang membuka gerai dan menjaja burger di lokasi tersebut.

Tindakan itu diikuti dengan satu lagi demonstrasi oleh Persatuan Veteran Tentera Melayu semalam yang mengadakan gimik demonstrasi dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah kediaman tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS