Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Pengarah Jabatan Amal, Juhari Osman berkata, ketika keadaan tidak terkawal pada perhimpunan BERSIH 3.0, di Kuala Lumpur, 28 April lalu, beliau mengarahkan supaya semua anggota unit amal yang bilangan dianggarkan 2,000 orang supaya beredar daripada kawasan berkenaan.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku selepas jam 4 petang di mana kebanyakan peserta gagal mematuhi arahan biarpun disaran supaya beredar.

NONE "Kira-kira jam 4 petang, memang saya ada keluarkan arahan supaya mereka beredar menerusi radio dan sewaktu menghubungi pihak yang mengetuai pasukan bertugas mereka jelaskan supaya balik sebab keadaan tidak terkawal.

"Sebelum ini peserta ikut arahan tetapi kali ini nampak liar dan ketika berlakunya insiden menterbalikkan kereta, kejadian itu berlaku pukul 5 dan walaupun ada arahan daripada pimpinan Pakatan Rakyat, untuk kita turun tetapi kita memikirkan risikonya tinggi jadi kami tidak turun.

"Setelah peranan kita tidak dapat diikuti oleh peserta jadi kita tidak mampu berbuat apa-apa dan saya tidak pasti sama ada ia merupakan satu provokasi daripada pihak lain," katanya.

Juhari mendakwa, pada hari kejadian, lebih 10 anggota daripada unit amal ditangkap dan kesemuanya bukan kerana bertempur dengan polis tetapi mereka di tangkap ketika sedang memberi khidmat membantu peserta yang tercedera dan sebagainya.

Nafi rempuh polis

"Kita di Unit Amal cuba sedaya upaya mengelakkan pertembungan dengan pihak polis dan ini perlu kita jaga selagi peserta boleh ikut tetapi jika sebaliknya kita tidak mampu lagi dan tidak berani mengambil risiko.

"Ada yang ditangkap ketika sedang membantu mereka yang sesak nafas, sedang mengumpul kasut dan selipar yang bersepah sebab setelah selesai perhimpunan biasanya kita akan melakukan kawad bersih supaya tidak berlaku kekotoran, jadi dalam keadaan itulah ada anggota yang ditangkap.

"Polis melakukan tangkapan secara keseluruhan setelah mereka bagi arahan supaya beredar namun ada peserta yang tercedera, tak kan kita nak tinggalkan mereka," katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya anggota Unit Amal yang melakukan rempuhan di KLCC.

"Seperti dituduh, rempuhan di KLCC sebenarnya pergerakan anggota Unit Amal yang dirakam sebenarnya untuk meloloskan diri, supaya tidak berlaku keadaan yang tidak terkawal sebab ketika itu polis sedang membuat halangan dan sebelum siap kita cuba keluar.

"Kita bimbang ada peserta akan merempuh polis dan sebab itu nampak dalam gambar seolah-olah anggota Unit Amal merempuh polis dan setakat ini tiada seorang pun yang mengakui mereka memukul anggota polis," katanya.

Juhari berkata, setakat ini, beliau tidak dapat pastikan jumlah sebenar anggota Unit Amal yang cedera tetapi sempat menziarahi seorang anggota daripada Pahang.

"Beliau menyatakan kepada saya yang beliau dipukul setelah ditangkap dan kejadian itu berlaku di Dataran Merdeka dan kemudiannya telah di bawa ke ibu pejabat Polis.

"Dia mendakwa telah dipukul oleh polis secara beramai-ramai sehinggakan doktor yang merawat beliau turut timbul perasaan marah. Saya pun baru pertama kali temui seorang doktor yang mempunyai perasaan begitu.

"Dia kata tak puas hati dengan tindakan polis sehingga mangsa dipukul begitu teruk. Ada juga seorang wartawan yang dipukul teruk. Dia pun terpaksa menerima pembedahan," katanya.

Kesan strategi provokasi

Beliau berkata, apabila berlaku pertempuran pihaknya mengarahkan peserta untuk beredar daripada lokasi.

"Bukan pukul 3 petang tetapi pukul 4 petang, kita bagi arahan Unit Amal balik ke lokasi masing-masing dan antara pukul 3 hingga pukul 4 petang itu, berlaku satu keadaan yang kelam kabut.

"Anggota Unit Amal ketika itu berpecah dan ada antara mereka yang membantu mangsa-mangsa yang tercedera, mereka mendakwa kali ini lepasan gas pemedih mata mempunyai kekuatan lebih teruk daripada sebelum ini.

"Anggota kita terpaksa menyelamatkan diri sendiri dahulu baru boleh bantu orang lain, jadi suasana kelam-kabut dan tidak terkawal," katanya.

Juhari berkata, beliau berasa kesal berikutan berlakunya insiden berkenaan, namun sedang mengumpulkan beberapa bukti menerusi Dewan Pemuda PAS untuk menyiasat punca berlakunya kejadian tersebut.

"Kita gagal mengesan apakah strategi yang dibuat oleh pihak berkuasa untuk menimbulkan suasana provokasi.

"Perkara ini memang dirancang untuk berlaku sebegini dan saya rasa lebih bersemangat untuk tempoh akan datang serta meyakinkan anggota Unit Amal supaya lebih bersedia pada perhimpunan BERSIH akan datang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS