Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

BERSIH hari ini mengecam tindakan polis yang didakwa memukul peserta himpunan 28 April lalu selepas menyerah diri kepada polis.

Kecaman itu dibuat selepas peserta himpunan itu Mohd Safuan Mamat mendakwa dipukul dengan salur getah supaya mengaku bersalah di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi 14 Mei lalu.

NONE "Jadi apa (mesej) yang polis mahu sampaikan?

"Adakah itu yang akan dilakukan terhadap mereka yang lain?" tanya Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah pada sidang media di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Polis sebelum ini mengeluarkan senarai gambar 141 individu yang diminta menyerah diri untuk membantu siasatan berhubung himpunan BERSIH 3.0 hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, empat daripada gambar itu dikenal pasti pengguna Internet sebagai individu sama.

Dalam sidang media pagi tadi BERSIH turut mengumumkan akan mengadakan sidang akhbar menampilkan hampir 100 orang yang mendakwa menjadi mangsa keganasan polis.

Ia akan diadakan pada jam 11 pagi pada 19 Mei ini di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), kata ahli jawatankuasanya, Hishamuddin Rais.

"Mereka ini adalah mangsa dan mereka diganasi polis (pada 28 Aril lalu)," kata Hishamuddin.

Menurut Maria Chin pula, sebahagian mereka yang hadir itu akan menampilkan bukti dalam bentuk gambar dan menceritakan semula pengalaman mereka diganasi polis dan juga layanan diterima di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak.

"Kita akan dengar dari mulut mereka sendiri kali ini, dan bukannya daripada kami," kata Maria.

ADS