Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa agar segala gangguan dan ancaman peribadi kepada pengerusinya Datuk S Ambiga dihentikan segera.

Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk A Samad Said melahirkan rasa sedih dan marah beliau terhadap gangguan berterusan yang dialami Ambiga di rumahnya.

NONE "Ketika serangan dengan kelakuan hina dan kadang kala ganas ini dilakukan di hadapan rumahnya, Ambiga melayani keadaan tersebut penuh sopan dan hormat," katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad.

Semalam, sekumpulan veteran tentera membuat "senaman punggung" selama kira-kira 15 minit di hadapan rumah Ambiga.

Pada 10 Mei lalu, sekumpulan peniaga kecil mendirikan gerai burger di hadapan rumah Ambiga sebagai tanda protes terhadap himpunan BERSIH yang didakwa menyebabkan kerugian kepada perniagaan mereka.

Samad turut membidas kenyataan polis sebelum ini yang membenarkan perhimpunan yang diadakan di luar rumah Ambiga.

"Pihak berwajib seharusnya bersuara mengutuk apa yang sedang dilakukan terhadap seorang pemimpin masyarakat madani.

"Jika kerajaan dan pihak berwajib senyap dan membisu ini bermakna mereka menyokong kerja bangan dan perangai hina ini," katanya.

Tiada niat runtuhkan kerajaan

Pak Samad seterusnya menegaskan bahawa BERSIH hanya menuntut pilihan raya yang bersih dan adil dan tidak pernah berniat menggulingkan kerajaan melalui cara tidak sah seperti didakwa mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan tiga bekas ketua polis.

"Itu tindakan sama yang (cuba) menunjukkan BERSIH ini membahayakan.

NONE "Padahal apa yang kami lakukan adalah membersihkan mandat demokrasi, bukannya menentang kerajaan.

"Tidak ada niat lain walaupun di sebelah sana sentiasa menyatakan kami ingin meruntuhkan kerajaan," kata sasterawan negara itu.

Dalam sidang media sama, BERSIH melancarkan kempen baru bagi melawan dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum akan datang.

Berasakan konsep undi dan pantau BERSIH menyeru rakyat Malaysia agar meningkatkan peratusan keluar mengundi dan memantau sebarang penipuan yang mungkin berlaku pada hari mengundi.

"BERSIH menyeru semua warga yang berdaftar mengundi menggunakan undi mereka sebagai benteng melawan penipuan.

"Kami (juga) menyeru semua penyokong BERSIH untuk sama-sama melawan penipuan dengan menjadi pemantau, pengira undi dan agen pengundi," kata BERSIH dalam kenyataannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS