Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad membidas dakwaan pihak tertentu bahawa kuasa Melayu akan tergugat sekiranya DAP - yang sinonim dengan kaum Cina - menguasai negara ini.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai "satu pembohongan dan tidak mempunyai asas" yang kukuh memandangkan DAP hanya bertanding 48 daripada 222 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

"Sekiranya mereka menang semua 48 kerusi, mereka tidak perintah negara. Kalau rasa (Melayu) tergugat dengan 48 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan, fakta itu tidak ada asas.

"Untuk menang membentuk kerajaan, sekurang-kurangnya menang 112 kerusi, tetapi mereka bertanding 48 kerusi... (Dakwaan) itu satu pembohongan," katanya.

Sebaliknya, kata Khalid, secara umumnya sebanyak 137 kerusi parlimen akan ditandingi calon Melayu daripada Umno, PAS dan PKR dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, jika PAS tewas sekalipun, calon Melayu tetap menguasai 137 kerusi parlimen sama ada daripada Umno atau PKR.

Beliau menjawab soalan hadirin yang mengutarakan tanggapan kebanyakan orang Melayu yang beranggapan bahawa DAP akan menguasai Melayu sekiranya mereka menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain Khalid, turut dijemput menjadi panelis setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP Zairil Khir Johari, pensyarah Dr Maszlee Malek dan Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan.

Guan Eng tekankan hormat perlembagaan

Bercakap dalam forum bertajuk "Islam, Melayu dan DAP" anjuran akhbar Roketkini.com , isu DAP - yang dianggap sebagai 'chauvanis' - menggugat kuasa Melayu bukan merupakan isu sebenarnya.

Ahli jawatankuasa Pusat PAS itu berkata, sebaliknya menegaskan, isu yang menjadi tumpuan sebenarnya adalah bagaimana mahu "menjatuhkan ahli politik yang kotor" dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengulas perkara yang sama, Dr Maszlee mendakwa penguasaan BN yang mencipta "stigma" bahawa DAP akan berbuat demikian sekiranya memerintah negara ini.

"Itu hanya propaganda," katanya di hadapan kira-kira 100 hadirin yang memenuhi Dewan Annex, Shah Alam Selangor petang semalam.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu juga menegaskan DAP tidak boleh membuat pindaan perlembagaan jika menguasai negara ini.

Ini kerana, tegasnya, parti itu memerlukan persetujuan dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan perkenan Raja-raja Melayu untuk berbuat demikian.

Manakala Zairil pula, beliau tidak menjawab secara langsung perkara itu tetapi menegaskan sejak Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mentadbir parti itu sejak 2005, Lim menekankan supaya ahlinya menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, hal demikian termasuklah artikel yang menjamin kepentingan orang Melayu, bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu.

ADS