Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Majlis Peguam Malaysia hari ini meluluskan usul tergempar mengutuk dakwaan keganasan polis sewaktu himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Badan peguam dengan keahlian lebih 14,000 anggota itu meluluskan usul tersebut yang diajukan presidennya, Lim Chee Wee pada satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) petang tadi.

NONE "Majlis Peguam Malaysia memandang serius dan mengutuk penggunaan meriam air dan gas pemedih mata secara berlebihan, salah, dan tanpa had terhadap peserta himpunan," kata Lim Chee Wee sewaktu membacakan sebahagian petikan daripada usul itu selepas selesai mesyuarat.

Seramai 1,270 anggota Majlis Peguam Malaysia hadir ke EGM petang tadi dengan 939 menyokong dan hanya 16 orang menolak usul tersebut.

Lim berkata berbeza dengan polis, peserta BERSIH yang menuju ke arah Dataran Merdeka bersurai secara aman walaupun selepas polis mula melepaskan tembakan gas pemedih mata terhadap mereka.

"Peserta berpusing dan mula beredar. Tiada pijak memijak berlaku. Ia satu bukti bahawa mereka adalah rakyat Malaysia yang cintakan keamanan," katanya.

Lim juga berkata Majlis Peguam menuntut Menteri Dalam Negeri Datuk seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas insiden itu.

Majlis Peguam Malaysia turut menuntut agar anggota polis yang melakukan keganasan dikenalpasti dan didakwa.

"Kami gesa polis mengenal pasti anggota mereka yang terlibat dalam kelakuan yang menyalahi undang-undang, terutamanya yang menyerang peserta himpunan, didakwa," kata Lim.

Resolusi yang diusulkan Lim hari ini hasil daripada laporan pemerhatian 78 pemerhati dari Majlis Peguam sewaktu himpunan BERSIH anjuran gabungan 84 NGO itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS