Penulis Islam kontroversi yang didakwa prolesbian, Irshad Manji terpaksa menangguhkan semua programnya negara ini mulai esok ekoran "gangguan" beberapa NGO Islam di Yogjakarta, Indonesia.
Menurut ZI Publication yang menerbitkan versi terjemahan bukunya dan mengurus kemasukan Manji ke negara ini, semua acara berkaitan ditangguh ke minggu hadapan sehingga masalah di Indonesia selesai.
"Semua acaranya akan di tangguhkan ke minggu hadapan kerana ada sedikit gangguan daripada beberapa NGO Muslim dan perkara lain semasa beliau di Yogjakarta," kata Pengarah ZI Publication Ezra Zaid ketika dihubungi Malaysiakini.
Selain itu, ditanya mengenai gesaan Pemuda PAS supaya kerajaan menghalang penulis itu daripada mengadakan program di sini, Ezra mempersoalkan tindakan itu kerana Manji bukan penjenayah atau pengganas.
"Kenapa kerajaan perlu halang dia masuk? Dia bukan penjahat, bukan penjenayah. Dia seorang penulis, seorang profesor. Kenapa mesti halang?
"Dia juga merupakan seorang penulis buku bertaraf antarabangsa. Dia cuma membincangkan mengenai kehidupan dan sebagainya," katanya lagi.
Program pertama sepatutnya esok
Manji, 44, dijadual mengadakan beberapa pertemuan dengan peminat, antaranya di sebuah kedai buku terkemuka di Kuala Lumpur. Program pertaman sepatunyanya berlangsung petang esok.
Buku tersebut memasuki pasaran Malaysia baru-baru ini dan sudah beredar di kedai-kedai buku seluruh Malaysia.
Media Indonesia melaporkan, salah satu program Manji di Gedung Salihara Jakarta terpaksa dibatalkan separuh jalan Jumaat lalu apabila diserbu ratusan kumpulan pendesak daripada Front Pembela Islam.
Bimbang kejadian berulang, dua lagi program sama di Yogyakarta kelmarin, masing-masing di di Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga dan Universitas Gadjah Mada turut dibatalkan.
Allah, Kebebasan dan Cinta antaranya merakamkan keimanan boleh diselaraskan dengan kebebasan dan kasih sayang Tuhan memberikan manusia membuat pilihan.
Manji berkongsi pengalamannya di ceruk-ceruk dunia dengan pembaca, antaranya menceritakan kisah menyentuh hati namun dan lucu terhadap zaman ini yang keliru tentang persoalan moral.