Jika benar terdapat 'komunis' yang menyertai perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil pada 28 April lalu, mereka penganut fahaman itu yang baik, kata ahli jawatankuasa pemandu BERSIH Hishamuddin Rais.
"Kalau kata ramai yang datang masa BERSIH ialah 'komunis'. Ok lah itu.
"Sebab mereka 'komunis' yang baik. Sebab mereka tentang penipuan yang dibuat oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sebelum ini, bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar mengatakan, perhimpunan "duduk bantah" itu didalangi oleh pihak yang menyebarkan ideologi komunis dan aktif sebagai peserta demonstrasi sekitar 1970-an.
Walaupun Hanif tidak menamakan sesiapa tetapi kenyataan itu dipercayai jelas merujuk kepada Hishamuddin yang terlibat dalam aktivisme pelajar sekitar 70-an dan memainkan peranan penting pada perhimpunan itu.
Selain itu, mengulas pelantikan Hanif mengetuai panel bebas bagi menyiasat dakwaan insiden kekasaran polis pada perhimpunan BERSIH 3.0, Hishamuddin berkata, Haniff tidak mempunyai kredibiliti untuk tujuan itu.
Katanya, memberikan tanggungjawab itu kepada Hanif samalah dengan melantik saudagar kroni untuk menjaga Baitulmal.
"Dia memang tak layak," katanya.
Hanif akan mengetuai enam lagi panel daripada pelbagai bidang termasuk pengamal media, pegawai kanan syarikat korporat dan ahli akademik.