Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), satu NGO yang rapat dengan Pakatan Rakyat membidas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa penyenaraian FELDA merupakan 'perkongsian kemakmuran'.
Menurut Dr Rosli Yaakop, ( gambar bawah, kanan sekali ) penasihat ekonomi ANAK, 'perkongsian kemakmuran' yang disebut Ahmad tidak tepat kerana sumber yang ada pada Felda seharusnya dimanfaatkan untuk generasi kedua Felda terlebih dahulu.
"Perkongsian kemakmuran yang dimaksudkan itu ibarat menyusukan kera di hutan anak sendiri ditinggalkan," katanya yang merupakan bekas timbalan pengarah Bank Negara.
Ahmad semalam menyifatkan penyenaraian saham Felda di Bursa Malaysia sebagai satu 'perkongsian kemakmuran' apabila pelanggan saham FGVH bakal memperolehi pulangan dalam bentuk dividen tahunan yang diagihkan kepada mereka.
Menurut Dr Rosli, sebarang kekayaan Felda juga sewajarnya disalurkan kepada golongan peneroka yang bersusah payah menyumbang usaha, tenaga dan titik peluh membangunkan Felda selama ini.
"Apabila kita tengok prospektus, tiada peruntukan (saham) untuk generasi kedua FELDA.
"Kemakmuran hendak diberi kepada pelabur asing yang sedia kaya, tauke-tauke atau para spekulator saham yang bukan miskin. Ini lebih kepada perompakan," katanya sewaktu bercakap di lobi bangunan Suruhanjaya Sekuriti di Bukit Kiara.
Serah memo pada Suruhanjaya Sekuriti
Dr Rosli bersama Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman petang tadi menyerahkan aduan membantah penyenaraian Felda kepada Suruhanjaya Sekuriti.
Menurut Mazlan, ANAK menyerahkan bantahan 154 peneroka dari gugusan Bera, Pahang dan Raja Alias, Johor yang dakwanya ditipu untuk menandatangani borang pinjaman bagi membeli saham FGVH.
Menurutnya, peneroka tersebut diperdaya pengurus Felda menandatangani borang itu dalam bahasa Inggeris secara tergesa-gesa dan mereka juga tidak dibenarkan membawanya pulang ke rumah.
Malah, dakwanya lagi, borang tersebut juga tidak tercatat jumlah pinjaman yang dipohon dan tiada jadual pembayaran semula.
"Mereka dipaksa menandatangani borang pinjaman walaupun prospektus masih lagi dipamerkan," katanya.
Satu permohonan mahkamah juga difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan semalam bagi menghentikan perjanjian yang ditandatangani peneroka itu daripada dikuatkuasakan, kata Mazlan.
Dalam pertemuan ringkas dengan Pengurus Besar Suruhanjaya Sekuriti, Musa Mahmud yang menerima aduan itu, Mazlan turut menyerahkan memorandum membantah penyenaraian Felda.