Seorang guru disambut sebagai seorang hero di sekolah ekoran tindakannya ketika perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu yang mencetus sensasi di laman video Youtube dan laman sosial Facebook .
Toh Chin Hong, 27, bagaimanapun tidak begitu menghiraukan populariti yang diraih.
"Fokus pada 28 April tidak boleh hanya pada satu orang. Ia akan menjejaskan tujuan utama kita iaitu penambahbaikan pilihan raya.
"Kita mesti ingat. Jika kita lupa, seluruh perhimpunan itu tidak bermakna," kata guru kimia itu dalam wawancara dengan Malaysiakini .
Dalam perhimpunan itu, Toh dikejar oleh pasukan keselamatan yang bertindak ke atas kumpulan peserta perhimpunan di satu jalan di luar stesen LRT Masjid Jamek.
Beliau yang kepenatan akibat dikejar polis FRU kemudian duduk bersila di jalan berkenaan, bertentangan dengan barisan pasukan tersebut.
Tindakannya itu yang dirakam lensa kamera, mendapat sambutan liar di Internet apabila gambar beliau dalam keadaan diselubungi asap gas pemedih mata dikongsi lebih 1,500 pengguna Facebook , selain 160,000 tontonan video di YouTube .
"Memandangkan mereka (polis) tidak membenarkan saya duduk di Dataran Merdeka, saya duduk di hadapan mereka," katanya yang digelar 'Lelaki Topi Jerami' oleh para peminatnya.