Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Pemuda PKR (AMK) Negeri Selangor terkesan dengan keluhan dan permasalahan rakyat khususnya warga negeri Selangor yang saban hari dibebankan dengan kutipan tol setiap kali melalui Lebuhraya Persekutuan, iaitu laluan yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur dan melibatkan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau.

Lebuhraya Persekutuan yang dibuka pada tahun 1974 mulai membuka laluan bertol sepanjang 18 kilometer yang mula beroperasi pada 1992.

Kutipan tol pula mula berkuatkuasa pada 15 November 1993 iaitu melibatkan dua plaza tol; Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau dengan kutipan tol permulaan bagi kenderaan Kelas 1 seperti kereta di Plaza Tol Batu Tiga sebanyak 60 sen dan 50 sen di Plaza Tol Sungai Rasau, manakala bagi lori/treler ialah RM1.20 di Plaza Tol Batu Tiga dan RM1.00 di Plaza Tol Sungai Rasau.

Selepas hampir 20 tahun beroperasi, kadar kutipan tol di kedua-dua plaza tol ini telah mencecah hampir dua kali ganda dari kadar kutipan asal iaitu sebanyak RM1.10 bagi kenderaan Kelas 1 di Plaza Tol Batu Tiga dan RM1.00 di Plaza Tol Sungai Rasau.

Kutipan tol bagi lori/treler pula di Plaza Tol Batu Tiga adalah RM2.20 manakala RM2.00 di Plaza Tol Sungai Rasau.

Merujuk kepada Penyata Rasmi Parlimen bagi Dewan Rakyat ketika Parlimen kelapan, penggal ketiga, Jilid III, bilangan 43 bertarikh 10 November 1993 di bawah usul yang dibawa oleh ahli Parlimen Klang YB Fong Kui Lun (kini ahli Parlimen Bukit Bintang) bertajuk Kutipan Tol Di Lebuhraya Persekutuan 2 Di Antara Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau , dinyatakan bahawa kebenaran mengutip tol yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada pihak PLUS adalah sehingga tahun 2018.

Jika merujuk kepada penyata rasmi Parlimen yang sama, ternyata, operasi kedua-dua plaza tol ini adalah bertujuan untuk memindahkan beban pembayaran kos pembinaan pembesaran Lebuhraya Persekutuan berjumlah RM357 juta kepada rakyat.

Ini seharusnya tidak terjadi memandangkan adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan menyediakan semua kemudahan termasuk lebuhraya untuk manfaat semua rakyat.

Jika dihitung secara terperinci keuntungan yang diperolehi oleh pihak PLUS menerusi operasi kedua-dua plaza tol ini, ternyata kos pembinaan pembesaran lebuhraya Persekutuan sepanjang 18 kilometer berjumlah RM357 juta ini mampu selesai ditampung balik menerusi kutipan tol dalam tempoh lebih kurang tiga (3) tahun sahaja.

Merujuk kepada penyata rasmi Parlimen yang sama, kos purata untuk pembinaan lebuhraya bagi jarak satu (1) kilometer menelan belanja sebanyak RM20 juta. Sekiranya lebih 160,000 kenderaan melalui (pergi dan balik) kedua-dua plaza tol ini setiap hari, bererti sebanyak RM352,000 telah berjaya dikutip.

Dalam tempoh sebulan, sebanyak RM10.56 juta akan berjaya dikumpul dan dalam tempoh lebih kurang tiga (3) tahun, nilai modal bagi kos pembinaan pembesaran lebuhraya sebanyak RM357 juta tersebut telah berjaya ditampung kembali.

Sehubungan dengan itu, memandangkan kini telah hampir 20 tahun kedua-dua tol tersebut beroperasi, adalah mustahil sekiranya kos pembinaan pembesaran lebuhraya yang siap pada 1992 ini masih belum berjaya dilunaskan.

Ini dikuatkan lagi dengan fakta bahawa kadar kutipan tol di kedua-dua plaza tol tersebut telah meningkat sebanyak dua kali ganda dari kadar kutipan asal.

Setiap hari, ratusan ribu rakyat menggunakan laluan bertol di Lebuhraya Persekutuan ini untuk pelbagai tujuan terutamanya ke tempat kerja.

Seandainya mereka menetap di Klang dan bekerja di Kuala Lumpur, maka setiap hari mereka terpaksa membelanjakan sebanyak RM4.20 bagi menampung kos bayaran tol (pergi dan balik) dari rumah ke tempat kerja.

Kos ini tidak termasuk kos minyak petrol yang turut dijual pada harga tinggi dan membebankan.

Justeru, AMK negeri Selangor merasakan telah sampai masanya untuk pihak kerajaan memansuhkan serta menutup operasi kedua-dua plaza tol ini pada kadar segera. Rakyat tidak seharusnya dibebankan lagi dengan kutipan tol di kedua-dua plaza tol ini.

AMK negeri Selangor dengan ini mendesak pihak Kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya supaya memansuhkan dan menutup operasi di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau dengan segera sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

AMK negeri Selangor dengan kerjasama parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan juga akan turut menggerakkan satu demonstrasi aman pada 13 Mei 2012 bagi menuntut pemansuhan dan penutupan kedua-dua tol ini.


AZMIZAM ZAMAN HURI naib ketua Pemuda PKR (AMK) merangkap ketua AMK Selangor. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini .


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS