Permohonan injunksi baru yang difailkan oleh NGO berkaitan dengan PAS yang berjuang untuk hak peneroka FELDA tergendala hari ini kerana hakim di Mahkamah Tinggi Seremban terlalu sibuk untuk mendengar kes mereka.
"Kami menemui pendaftar mahkamah yang mencadangkan kami
memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Kuantan. Ini kerana jadual hakim di Mahkamah Tinggi Seremban sudah penuh selama seminggu.
"Memandangkan ini perkara mustahak dan kami percaya bank-bank terbabit mungkin mengambil tindakan, maka kami dinasihat memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuantan jika kita mahu ia didengar minggu ini," kata pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK), Mazlan Aliman (kanan) kepada Malaysiakini hari ini.
Permohonan injunksi itu, yang dikendalikan oleh peguam ANAK, Haris Abdullah, jelas Mazlan, adalah untuk menghalang Felda Global Ventures (FGV) dan bank-bank terbabit, daripada meneruskan rancangan penyenaraiannya, sehinggalah tuduhan serius peneroka mengenai penipuan, disiasat.
"Ini adalah fasa pertama yang melibatkan 25 peneroka dan dua bank perdagangan. Semua sekali kita sedang bergerak untuk memfailkan injunksi bagi pihak lebih ramai peneroka yang melibatkan tujuh bank perdagangan. "
Rugutan peneroka, kata Mazlan, ialah mengenai borang pinjaman tawaran IPO yang dikeluarkan oleh Felda dan "cara tergesa-gesa" agensi tersebut meminta peneroka menandatanganinya.
Beliau mengulangi dakwaan Anak sebelum ini bahawa borang tersebut sebenarnya borang pinjaman yang akan membuat peneroka bertanggungjawab ke atas 'durian runtuh' yang menurut kerajaan dan Felda akan diterima mereka daripada hasil penyenaraian tersebut.
"Ia bukan durian runtuh tetapi pinjaman," tegas Mazlan.