Aktivis pelajar Khalid Ismath yang mendakwa menjadi mangsa silap identiti, dibebaskan petang semalam selepas polis gagal mendapatkan perintah mahkamah untuk melanjutkan tahanan reman terhadapnya.
Polis menahan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu pada pagi
Sabtu lepas berhubung siasatan terhadap foto yang menunjukkan seorang lelaki menyerang seorang anggota polis trafik semasa BERSIH 3.0 berhampiran Dataran Merdeka.
Khalid (kiri) bertegas bahawa penyerang dalam gambar itu adalah orang lain manakala dia memakai warna yang berbeza pada hari berkenaan.
Menurut peguamnya, Latheefa Koya, Polis Daerah Dang Wangi telah memohon tambahan reman empat hari daripada Mahkamah Majistret pagi semalam.
"Saya memberitahu polis bahawa beliau (Khalid) telah melaksanakan haknya untuk berdiam diri. Mendapatkan empat hari lagi reman tidak akan memaksanya bercakap atau mengakui apa-apa," kata Latheefa ketika dihubungi.
Katanya, polis telah menggeledah rumah Khalid pada hari Sabtu untuk mencari baju berjalur yang dipakai oleh lelaki yang tertera dalam gambar tersebut tetapi tidak menemui apa-apa.
Menurutnya lagi, pihak polis telah mengakui kepada majistret bahawa mereka tidak mempunyai bukti lain dan oleh itu majistret menolak permohonan mereka untuk melanjutkan tempoh reman.
Latheefa (kanan) berkata polis juga menyebut mengenai posting di
Facebook dalam permohonan mereka, tetapi tidak menyatakan butiran lanjut.
Walaupun Khalid rasmi bebas, tetapi dia berdepan dengan kemungkinan satu lagi siasatan berhubung posting dalam Facebooknya.
"Pihak polis di Dang Wangi menahannya sehingga 3 petang semalam kerana mereka mendakwa seorang anggota polis dari Shah Alam datang untuk merakam kenyataannya (Khalid) mengenai posting Facebook.
"Mereka mungkin cuba untuk menangkapnya semula," kata Latheefa.
Khalid dalam Facebook sebelum ini menulis: "Saya setuju jika semua polis dibunuh. Kerana begini caranya mereka melayan rakyat. Jadi setiap kali demo, tidak ada rundingan dengan polis lagi. Lawan tetap lawan."
[Baca berita penuh]