Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid Ismath dibebaskan dengan jaminan polis
Diterbitkan:  May 6, 2012 9:14 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Polis mengesahkan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khalid Mohd Ismath, 22, yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam rusuhan semasa perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu hari ini dibebaskan dengan jaminan polis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairy Ahrasa berkata Khalid dibebaskan kira-kira pukul 11 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Pelajar itu disiasat kerana didakwa melakukan kekacauan dan rusuhan yang mengakibatkan kerugian dan kerosakan harta awam.

"Pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan bagi proses tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap Khalid dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.  

Beliau berkata polis sudah selesai menjalankan siasatan ke atas laporan terhadap Khalid membabitkan kejadian menendang anggota polis trafik serta melakukan rempuhan ke atas polis semasa perhimpunan itu.  

Beliau menambah siasatan berhubung dakwaan Khalid mengeluarkan kenyataan ugutan kerana 'ingin membunuh polis' di dalam laman sosial Facebook miliknya akan disiasat oleh Polis Kontinjen Selangor.

Sementara itu, Khairy berkata sehingga semalam 91 individu yang gambar mereka disiarkan di media kerana didakwa terbabit dalam insiden kekacauan semasa perhimpunan masih belum menyerah diri atau ditahan.

"Setakat ini masih kekal dua individu yang ditahan sejak Khamis lalu," katanya.

Beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung individu yang sedang dikesan supaya menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah D7A, IPK Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Aziz ditalian 019-2602344 bagi membantu siasatan.

- Bernama

ADS