Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Lynas manfaat pada penyelidikan universiti'
Diterbitkan:  May 5, 2012 11:22 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Universiti tempatan akan memperoleh manfaat dari segi penyelidikan nadir bumi jika kilang pemprosesan nadir bumi milik Syarikat Lynas Corporation Ltd beroperasi, kata Ahli Majlis

Tertinggi Akademi Sains Malaysia (ASM), Prof Datuk Ahmad Zaidee Laidin.

Beliau berkata penyelidikan di peringkat universiti tempatan akan mendapat tempias kesan pembinaan kilang nadir bumi itu di Gebeng, Pahang dengan mengkaji hasil nadir bumi yang diproses dan yang terdapat di negara ini.

"Penyelidikan di negara ini dijangka akan lebih drastik dengan adanya kilang itu nanti di mana ia sudah pasti menarik minat pihak universiti tempatan dalam mengkaji sumber nadir bumi seperti yang dilakukan di negara luar.

"Kebanyakkan negara luar begitu tertarik dengan sumber nadir bumi kini seperti yang negara kita ada sekarang dan rugilah jika kita tidak menggunakan hasil ini dengan cara yang betul dan terkawal," katanya ketika ditemuramah Bernama di Kuala Lumpur semalam.

Ahmad Zaidee berkata kilang nadir bumi di Gebeng itu boleh dilihat sebagai sebuah kilang yang selamat persekitaran proses dan kerjanya menepati apa yang telah diperuntukkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Mengulas mengenai kebimbangan orang ramai tentang kemungkinan pencemaran radiasi dari kilang itu, beliau berkata bahan yang dibawa dan diproses oleh Lynas adalah sumber yang mana tahap radiasinya paling rendah.

"Hasil kajian dan penyelidikan ASM, kami mendapati tahap radiasi sumber yang akan diproses oleh kilang itu nanti adalah rendah sama seperti sumber yang dibawa dari Australia yang mana tahap radiasinya adalah yang terendah sebagai sumber nadir bumi," katanya.

Ahmad Zaidee berkata ASM telah mengeluarkan satu laporan lengkap melalui penyelidikan yang dijalankan oleh badan itu berhubung projek nadir bumi di Gebeng dan orang ramai boleh merujuknya melalui badan sains itu sendiri.

Beliau berkata jika masyarakat terlalu bimbang dengan khabar angin akan adanya pencemaran radiasi berskala besar, ASM sendiri akan bertindak sebagai 'orang tengah' dalam menubuhkan pasukan pemantau luar yang dianggotai oleh pakar-pakar dari dalam dan luar negara.

"Jalan terbaik untuk hilangkan kebimbangan orang ramai ialah dengan membuktikan radiasi berada di tahap terkawal dan tidak berbahaya menerusi kerjasama dengan pakar-pakar dari luar yang telah banyak mengendalikan kes nadir bumi di peringkat global seperti pakar dari China," katanya.

Beliau berkata China merupakan negara yang menguasai sumber nadir bumi dunia pada masa kini dengan sebanyak 95 peratus kilang nadir bumi dunia terdapat di sana.

- Bernama

ADS