Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Tiada cedera kalau dengar nasihat k'jaan
Diterbitkan:  May 4, 2012 10:50 AM
Dikemaskini: 2:52 AM

Senarai anggota panel siasatan bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat semua insiden yang berlaku pada perhimpunan di ibu negara Sabtu lepas, dijangka akan diumum minggu depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata sekarang ini pihak berkenaan sedang memilih orang yang sesuai untuk menganggotai panel siasatan tersebut.

azlan "Saya sokong penubuhan panel tersebut sebab itu kita bawa perkara itu dalam kabinet dan keputusan penubuhannya juga diputuskan kabinet.

"Saya juga sudah berbincang dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan kita sedang mencari orang yang sesuai untuk menganggotainya, mungkin minggu depan kita boleh umum," katanya sidang media di Putrajaya hari Khamis.

Mengulas mengenai siapa yang akan menganggotai panel tersebut, Najib berkata sudah tentu ia di kalangan mereka yang mempunyai kredibiliti, berpengalaman dan individu yang disegani masyarakat serta memahami dengan mendalam tugasan pihak polis.

Mengulas perhimpunan yang bertukar ganas itu di sekitar Dataran Merdeka, Najib berkata punca semua masalah berlaku apabila penganjur perhimpunan menolak tawaran kerajaan untuk mereka mengadakan perhimpunan itu di Stadium Merdeka atau Stadium Negara.

Beliau juga berkata hanya sekiranya orang ramai boleh mematuhi prinsip dan semangat Akta Perhimpunan Aman, perkara seperti itu tidak terjadi.

"Sebab itu kita guna pakai Akta Perhimpunan Aman semata-mata mengelak kesemua insiden seperti itu kerana apabila anda mengadakan demonstrasi jalanan maka wujud insiden seperti itu," katanya.

Najib berkata demonstrasi jalanan yang mencetuskan tindakan liar dan ganas seperti itu boleh juga berlaku di Malaysia dan ia bukan baharu di setiap negara tetapi juga di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Katanya kerajaan dan orang awam juga sedang memantau dan melihat siasatan polis berhubung perhimpunan itu yang dianjurkan badan bukan kerajaan disokong pembangkang.

Najib berkata tiada sesiapa akan mengalami kecederaan sekiranya pihak penganjur perhimpunan itu mendengar nasihat kerajaan.

"Perhimpunan itu akan berjalan secara aman sekiranya mereka memohon Stadium Merdeka sebelum itu dan kami akan menyelaras mereka... jika ada demonstrasi jalanan, kami tidak dapat mengawal dan sebab itu perkara tidak diingini berlaku, " jelasnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS