SAKSI MATA kira-kira jam 4 petang Sabtu lalu, saya berada di hadapan Wisma Da Vinci di Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika membuat liputan perhimpunan BERSIH 3.0.
Pada waktu itu, saya melihat jalan tersebut dipenuhi peserta perhimpunan yang disuraikan daripada kumpulan besar di persimpangan Jalan Tun Perak-Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Saya melihat peserta berkenaan menuhi kawasan kaki lima dan juga di tengah jalan berkenaan. Ada di kalangan mereka mengambil peluang untuk menikmati kerepek, minuman dan aiskrim daripada penjaja di situ.
Kira-kira 15 minit kemudian satu trak FRU daripada persimpangan Jalan Perak-Jalan Tuanku Abdul Rahman mara ke arah peserta berkenaan yang bertempiaran melarikan diri.
Secara tiba-tiba, muncul pula sebuah kenderaan Proton Waja Polis dari tengah-tengah persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi yang meluru laju ke arah Dataran Merdeka.
Kenderaan yang bergerak di antara kumpulan peserta berkenaan kemudian melanggar beberapa orang sehingga menyebabkan salah seorang individu berkenaan terpelanting ke atas kenderaan tersebut.
Saya nampak kereta itu kemudiannya tersasar ke arah kanan dan seterusnya melanggar tembok di hadapan pusat membeli belah Sogo.
Individu yang saya lihat berada di atas bonet kenderaan itu juga terjatuh dalam kejadian yang berlaku dengan pantas itu.
Semasa kejadian mencemaskan itu berlaku, saya tidak melihat seorangpun anggota polis lain berada di tempat kejadian.
Seramai kira-kira 30 orang peserta perhimpunan kemudiannya mengerumuni kenderaan tersebut dalam keadaan marah dan bertindak menendang dan memukul kereta tersebut.
Saya turut mendekati untuk melihat dengan lebih jelas dan mendapati salah seorang lelaki yang dilanggar itu mengalami kecederaan dan berdarah di bahagian muka.
Saya juga mendengar jeritan daripada individu di sekitar kawasan tersebut yang cemas kerana menyangka ada orang terperangkap di bawah kenderaan itu.
Beberapa orang di antaranya kemudian bertindak menterbalikkan kenderaan ke satu sisi dan memeriksa bahagian bawah kereta tersebut.
Saya kemudiannya panik dan berlari ke bahagian tengah jalan semula kerana khuatir kereta yang terlibat dalam perlanggaran itu akan meletup.
Tidak berapa lama kemudian, saya berpatah balik semula ke kawasan berhampiran kereta tersebut dan mendapati seorang lelaki yang cedera dengan berlumuran darah di kepalanya sedang diperiksa sekumpulan paramedik.
Saya melihat lelaki tersebut kemudiannya dibawa meninggalkan kawasan itu dengan menggunakan ambulans.