Seorang wartawan wanita mendakwa dikasari polis ketika membuat liputan perhimpunan BERSIH 3.0 dalam kejadian anggaran jam 7.30 petang semalam.
Wartawan laman berita Merdeka Review , Chen Shaua Fui berkata dalam insiden di Jalan Tun Perak itu beliau cuba merakam gambar anggota polis yang didakwa memukul peserta perhimpunan di sebuah restoran.
Beliau mendakwa anggota polis berkenaan mengheret dua orang peserta berkenaan yang sedang makan dan memukul individu berkenaan.
"Saya ingin merakam gambar tetapi diberi amaran oleh polis supaya tidak berbuat demikian, jadi saya tak (rakam gambar).
"Kemudian mereka pergi ke restoran lain di mana dua orang yang lain sedang makan. Polis tersebut meminta mererka menanggalklan baju mereka, menahan dan memukul mereka.
"Saya mahu rakam foto dan ketika itulah mereka pegang saya," katanya lagi.
Chen berkata salah seorang anggota berkenaan memegang tangan kanannya manakala seorang lagi memegang tangan kirinya.
Seorang lagi anggota polis cuba menarik beg beliau, katanya lagi kepada Malaysiakini.
Tambahnya, anggota polis tersebut cuba merampas kamera beliau serta merampas kad pengenalan medianya dan menendang kad berkenaan.
Seorang lagi wartawan yang turut mendakwa dikasari polis, Harry Fawcett mendakwa diberi layanan sebegitu oleh sekumpulan polis berpakaian seragam ketika beliau cuba merakam tindakan anggota berkenaan ke atas sekumpulan peserta perhimpunan.
Wartawan Al Jazeera itu memberitahu Malaysiakini , beliau bersama jurukameranya Ray Nones dihurung sekumpulan polis antara sepuluh hingga 15 orang ketika berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Fawcett mendakwa, beliau melihat tiga anggota polis memegang seorang lelaki dan pada masa sama seorang anggota polis itu menendang lelaki berkenaan.
Anda mempunyai rakaman video atau gambar yang menunjukkan kekasaran polis ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0? Anda boleh membantu kami berkongsi rakaman berkenaan dengan pembaca Malaysiakini. Hubungi kami: [email protected]