Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA hari ini mempertahankan keahlian Umno pengerusi dan timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Pengerusi PERKASA, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata, mana-mana penjawat awam bebas menjadi ahli parti selagi tidak aktif memegang jawatan,

NONE "Penjawat awam tak jadi larangan jadi ahli mana-mana parti. (Cuma) mereka tak boleh aktif dalam mana-mana parti," katanya.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali pula berpendapat perkara itu tidak menjadi isu kerana kedua-dua pengerusi dan timbalan pengerusi SPR menjalankan tugas mereka dengan profesional.

"Dia lebih profesional daripada Majlis Peguam yang tidak profesional. Mungkin ada di antara mereka (ahli Majlis Peguam) yang mempunyai keahlian DAP," sindirnya.

Ahli Dewan Tertinggi PERKASA, Laksamana Madya (Bersara) Datuk Mat Rabi Abu Samah menambah bahawa perkara yang sama turut berlaku di negara lain.

"Jika ada parti komunis di Jerman, anggota tentera negara itu boleh menyertainya dengan syarat mereka tidak aktif dalam parti itu," katanya.

Menurutnya, penjawat awam yang mempunyai keahlian parti politik adalah perkara yang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya dalam negara ini.

PKR hari ini mendedahkan butiran keahlian Umno dua pemimpin paling penting dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melibatkan Pengerusi Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Abdul Aziz hari ini dilaporkan berkata, beliau tidak pernah memohon untuk menjadi ahli Umno, tetapi kemungkinan ada pihak memasukkan namanya selepas tamat universiti sekitar tahun 70-an.

Manakala Wan Ahmad pula terus terang mengaku pernah menjadi ahli Umno tetapi tidak pernah hadir sebarang aktiviti dan mesyuarat parti serta "tidak pernah mengambil tahu".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS