Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR dakwa timbalan, pengerusi SPR ahli Umno
Diterbitkan:  Apr 26, 2012 12:00 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution mendakwa pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof serta timbalan, Datuk Wan Ahmad Wan Omar merupakan ahli Umno.

Saifuddin yang mendakwa mempunyai bukti kukuh berhubung keahlian tersebut, turut mencabar kedua-dua peneraju SPR itu supaya menafikan perkara itu, lapor akhbar Sinar Harian hari ini.

NONE "Saya tahu Aziz ahli Umno, cawangan mana, nombor ahli Umno. Satu-satu SPR di dunia, ketua dan timbalannya secara rasmi menjadi ahli politik yang bertanding dalam pilihan raya.

"Saya juga ada maklumat di cawangan mana Tan Sri Aziz dan timbalannya (Wan Ahmad) menjadi ahli (Umno)," kata Saifuddin seperti dipetik akhbar tersebut.

Beliau menimbulkan perkara itu ketika perhatian umum pada waktu ini tertumpu kepada perhimpunan untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil, BERSIH 3.0 yang akan berlangsung pada Sabtu.

Katanya lagi, beliau akan mendedahkan nama cawangan Umno berkenaan sekiranya Abdul Aziz dan Wan Ahmad tidak menafikan perkara itu.

"Saya minta, esok, mereka menafikan yang mereka bukan ahli Umno. Jika tidak, saya akan dedahkan di cawangan mana mereka menjadi ahli Umno."

Anggota panel SPR tidak sepatutnya condong kepada mana-mana parti politik agar dilihat berkecuali dan bertindak dengan tidak memihak, kata ahli parlimen Machang itu lagi dalam laporan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS