Pengerusi Bersama BERSIH 2.0 Datuk Ambiga berkata pihaknya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengubah lokasi perhimpuan ke Stadium Merdeka sepertimana yang dicadangkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.
"Kami menghadapi masalah dengan masa. Kami tidak boleh menukar lokasi. Hari ini hari rabu, kalau kami membuat pengumuman esok, ia hanya ada dua hari.
"Kami percaya kalau kami tukar tempatnya sekarang, ia akan mengelirukan rakyat, sama ada berkumpul di Dataran Merdeka atau di Stadium Merdeka," katanya selepas pertemuan dengan Ahmad Fuad.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya tetap akan mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka kerana pertukaran tempat pada saat akhir akan mengelirukan rakyat yang hadir memandangkan tempoh masanya adalah singkat.
Bagaimanapun, Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam berkata, pihaknya merayu dan berharap kepada datuk bandar supaya menimbang semula rayuan mereka untuk mereka berhimpun di Dataran Merdeka walaupun dalam pertemuan tersebut, Ahmad Fuad menolak permohonan mereka.
Mengulas perkara itu, Ahmad Fuad berkata tidak timbul kelewatan daripada DBKL sehingga menyebabkan BERSIH 2.0 sukar untuk menukar lokasi alternatif.
Katanya, pihaknya hanya menerima surat dan menjawab permohonan mereka pada 19 April lalu dan mendakwa tidak menerima faks permohonan mereka itu yang didakwa dihantar pada 16 April lalu.
Bahkan Ahmad Fuad berpendapat hasrat BERSIH berhimpun di Dataran Merdeka seperti yang diumumkan dalam sidang media pada 4 April lalu, merupakan "hasrat" mereka sahaja, dan ia tidak dibuat secara rasmi dengan DBKL pada tarikh tersebut.
"(Contohnya) kalau dia kata nak buat kenduri, tapi dia tak jemput awak. Awak tahu dia nak buat kenduri, dan jemputan tak dapat, kamu nak pergi kenduri ataupun tidak. Samalah dengan DBKL, tak ada surat rasmi," katanya.
Sebelum itu dilaporkan Ahmad Fuad turut memberi amaran kepada BERSIH 2.0 bahawa pihaknya akan mengambil tindakan keras terhadap mereka yang berhimpun di Dataran Merdeka pada 28 April ini.